Semua Seksyen

Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011

Bahagian

1 (Permulaan)

Seksyen

1

Tajuk

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
1 [1]

Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011.

1 [2]

Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.

Bahagian

1 (Permulaan)

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki
makna yang lain—

“dokumen” ertinya apa-apa hal yang dinyatakan, diperihalkan atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel dan apa-apa hal yang terkandung, dihasilkan, dihasilkan semula atau dihantar dalam, melalui atau kepada cakera, pita, filem, runut bunyi, rakaman (sama ada audio, visual atau jenis rakaman yang berlainan) atau apa jua bentuk atau peranti lain;

“jabatan” ertinya mana-mana jabatan Kerajaan Negeri, kerajaan tempatan dan mana-mana entiti yang dimiliki atau dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri;

“maklumat” ertinya apa jua maklumat dalam apa jua bentuk termasuk apa jua dokumen yang disediakan, dipinda, diubah, ditukar, diperoleh, diterima, dipegang, atau disimpan di dalam penjagaan atau pengawalan mana-mana jabatan atau kepada mana-mana jabatan yang mempunyai akses yang munasabah;

“Pegawai Maklumat” ertinya mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3 Enakmen ini.

Bahagian

2 (Pegawai Maklumat)

Seksyen

3

Tajuk

Pelantikan Pegawai Maklumat
3 [1]

Pihak Berkuasa Negeri hendaklah melalui Warta melantik Pegawai Maklumat bagi setiap jabatan.

3 [2]

Pegawai Maklumat hendaklah, sebagai tambahan kepada tanggungjawab khusus yang diperuntukkan dalam seksyen lain Enakmen ini, mempunyai tanggungjawab berikut:

(a) untuk secara teratur merekodkan semua maklumat di dalam kawalan pihak jabatan dan menjaga rekod tersebut dalam cara yang memudah cara pencarian rekod tersebut dan untuk mempertingkatkan dan melaksanakan amalan terbaik berkaitan dengan penjagaan, penyimpanan dan pelupusan maklumat di dalam jabatan dan pendedahan maklumat kepada orang awam;

(b) untuk mengadakan latihan kepada jabatan berkenaan dengan penjagaan, penyimpanan, pengurusan dan memenuhi permohonan maklumat;

(c) untuk berkhidmat sebagai perantara bagi jabatan dalam menerima permohonan dan membantu individu untuk mendapatkan maklumat untuk membuat permohonan dan apabila perlu, untuk mengarahkan individu kepada jabatan lain yang mungkin mempunyai maklumat yang diminta;

(d) untuk memproses dan mematuhi permintaan untuk maklumat kecuali ia dikecualikan tanpa pengecualian dan untuk kembali kepada pemohon dalam masa yang tetapkan;

(e) untuk mengadakan sistem pengesan bagi mengawal selia pemprosesan setiap permohonan untuk maklumat dan membolehkan setiap pemohon untuk bertanya tentang perkembangan permohonannya; dan

(f) segala apa yang perlu untuk memudah cara perjalanan maklumat di antara agensi atau entiti dan pemohon yang memohonnya.

Bahagian

2 (Pegawai Maklumat)

Seksyen

4

Tajuk

Kawalan Maklumat
4 [1]

Setiap jabatan hendaklah mempunyai kawalan ke atas semua maklumat yang dibuat, dipinda, diubah, diperoleh, diterima atau disimpan di dalam penjagaan atau kawalan setiap jabatan atau di buat oleh setiap jabatan atau mana-mana jabatan kepada mana jabatan tersebut mempunyai akses yang munasabah.

4 [2]

Setiap Pegawai Maklumat adalah berkewajipan untuk menjaga maklumat di bawah kawalannya selaras dengan arahan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

5

Tajuk

Akses kepada maklumat
5 [1]

Setiap jabatan hendaklah memberikan akses kepada setiap individu, maklumat yang berada di dalam kawalan jabatan, melainkan dikecualikan tanpa pengecualian di dalam Enakmen ini.

5 [2]

Jika maklumat yang hendak diakses oleh mana-mana orang terkandung dalam suatu dokumen yang penzahirannya tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis, akses kepada maklumat itu adalah tertakluk kepada undang-undang bertulis itu.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

6

Tajuk

Permohonan untuk maklumat
6 [1]

Mana-mana orang yang memohon untuk mengakses maklumat hendaklah membuat permohonan kepada jabatan dengan menggunakan borang yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri dengan syarat bahawa sekiranya permohonan tersebut tidak mematuhi sepenuhnya kehendak borang yang ditetapkan, permohonan tidak akan ditolak oleh Pegawai Maklumat atas alasan tersebut.

6 [2]

Permohonan di bawah subseksyen (1) hendaklah—

(a) dialamatkan kepada Pegawai Maklumat;

(b) menyatakan nama dan alamat surat-menyurat pemohon;

(c) menerangkan maklumat yang dipohon; dan

(d) menyatakan alasan dan tujuan permohonan.

6 [3]

Setiap permohonan hendaklah disertakan dengan bayaran fi yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

6 [4]

Walau apa pun peruntukan subseksyen (1) dan (2), mana-mana orang yang tidak berupaya disebabkan oleh buta huruf atau ketidakupayaan, boleh membuat permohonan secara lisan dan Pegawai Maklumat yang menerima permohonan lisan hendaklah, menjadikannya bertulis dan memberikan sesalinan borang permohonan itu kepada pemohon.

6 [5]

Pegawai Maklumat yang menerima permohonan hendaklah mengaku terima permohonan tersebut dan memberikan sesalinan akuan terima kepada pemohon.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

7

Tajuk

Maklum balas permohonan
7 [1]

Setiap jabatan berkenaan hendaklah memberi maklum balas secara bertulis kepada pemohon tentang permohonan yang dibuat di bawah seksyen 6 dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh akuan terima permohonan tersebut.

7 [2]

Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), apa-apa permohonan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan nyawa atau kebebasan seseorang individu, maklum balas hendaklah dibuat dalam tempoh tujuh hari dari tarikh akuan terima permohonan tersebut.

7 [3]

Sekiranya permintaan permohonan untuk mendapatkan maklumat tidak jelas, jabatan tersebut hendaklah dengan segala usaha yang munasabah untuk mendapatkan penjelasan daripada pemohon dan ini tidak akan melanjutkan masa yang telah ditetapkan dalam subseksyen (1) dan (2) untuk menyediakan maklum balas bertulis kepada pemohon.

7 [4]

Akses kepada maklumat hendaklah diberikan di dalam tempoh masa yang ditetapkan apabila—

(a) suatu permohonan untuk mengakses maklumat telah
diluluskan; dan

(b) fi di bawah subseksyen 6(3) telah dijelaskan.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

8

Tajuk

Penolakan permohonan
8 [1]

Permohonan untuk mengakses maklumat boleh ditolak
oleh jabatan apabila—

(a) mana-mana pengecualian dalam Bahagian IV terpakai
tanpa pengecualian; atau

(b) maklumat dipohon tidak wujud atau tidak dikawal oleh
jabatan.

8 [2]

Apabila permohonan untuk mengakses maklumat ditolak di bawah subseksyen (1), Pegawai Maklumat hendaklah memaklumkan kepada pemohon berkenaan penolakan secara bertulis dalam tempoh yang ditetapkan di dalam subseksyen 7(1) atau 7(2) dan notis bertulis hendaklah—

(a) menyatakan alasan penolakan permohonan;

(b) menyatakan nama Pegawai Maklumat yang membuat
keputusan;

(c) jika penolakan adalah berdasarkan kepada pengecualian di
bawah Bahagian IV, yang mana tiada satu pun pengecualian
tersebut terpakai, dinyatakan alasan untuk dan setakat
mana pengecualian kepada permohonan terpakai; dan

(d) memaklumkan kepada pemohon mengenai prosedur bagi
rayuan terhadap penolakan dan tempoh ditetapkan bagi
membuat rayuan.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

9

Tajuk

Rayuan kepada Badan Maklumat Negeri
9 [1]

Mana-mana pemohon yang—

(a) tidak berpuas hati dengan keputusan Pegawai
Maklumat;

(b) tidak berpuas hati dengan cara maklumat yang dipohon
dikemukakan atau berpendapat bahawa maklumat
yang diberikan adalah tidak lengkap, tidak benar atau
mengelirukan atau tidak selaras dengan permintaan di
dalam permohonan;

(c) tidak mendapat maklumat di dalam tempoh yang ditetapkan;
atau

(d) telah disalah lakukan dengan cara lain berkaitan dengan
permohonan atau akses kepada maklumat di bawah
Enakmen,

hendaklah, dalam tempoh dua puluh satu hari selepas dari tarikh
penerimaan notis memaklumkan keputusan di bawah subseksyen 8(2),
merayu terhadap keputusan tersebut kepada Badan Maklumat
Negeri dan butir rayuan tersebut akan dibuat secara bertulis dan
sesalinannya diberikan kepada pemohon.

9 [2]

Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), mana-mana orang yang tidak berupaya disebabkan oleh buta huruf atau ketidakupayaan, boleh membuat rayuan secara lisan kepada pegawai yang ditetapkan Badan Maklumat Negeri dan Pegawai Maklumat yang menerima permohonan lisan hendaklah, menjadikannya bertulis dan memberikan sesalinan borang permohonan itu kepada pemohon.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

10

Tajuk

Cara akses kepada maklumat
10 [1]

Akses kepada maklumat bolehlah dengan cara berikut:

(a) di dalam situasi di mana maklumat adalah artikel atau apa-apa bahan bunyi atau imej visual yang boleh dihasilkan semula, satu temu janji boleh dibuat bagi membolehkan pemohon melihat atau mendengar bunyi atau imej visual tersebut; atau

(b) di dalam situasi di mana maklumat adalah perkataan dalam bentuk rakaman yang boleh dihasilkan semula kepada bentuk bunyi atau perkataan dalam bentuk tulisan trengkas atau kod, jabatan bolehlah menyediakan semula maklumat tersebut dalam bentuk salinan bertulis.

10 [2]

Akses kepada maklumat bolehlah diberikan dalam bentuk atau cara yang paling praktikal oleh jabatan, tertakluk kepada bentuk maklumat itu sendiri.

10 [3]

Jika akses kepada maklumat yang dipohon oleh
pemohon—

(a) secara tidak munasabah akan mengganggu operasi
jabatan;

(b) menjejaskan pemeliharaan terhadap maklumat atau, setelah
mengambil kira fizikal semula jadi maklumat tersebut
adalah tidak sesuai; atau

(c) melibatkan pelanggaran hak cipta (selain daripada hak
cipta kepunyaan Kerajaan Negeri) yang terkandung dalam
maklumat tersebut,

akses tersebut boleh ditolak dan akses dalam bentuk lain boleh
diberikan tertakluk kepada subseksyen (2).

10 [4]

Mana-mana orang yang tidak berupaya disebabkan oleh buta huruf atau ketidakupayaan, untuk mengakses maklumat di dalam bentuk di mana ia disimpan atau disalin, hendaklah diberi pilihan untuk maklumat disampaikan kepadanya dalam bentuk pilihan lain yang boleh diakses olehnya.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

11

Tajuk

Maklumat tiada dalam milikan
11

Mana-mana Pegawai Maklumat yang menerima permohonan dan mendapati bahawa maklumat yang dipohon tiada dalam simpanan jabatan, Pegawai Maklumat itu hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada pemohon secara bertulis.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

12

Tajuk

Permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah atau berulang
12

Setiap jabatan tidak perlu memenuhi permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah atau permohonan sama telah pun diberikan kepada orang yang sama dalam tempoh enam bulan sebelum itu melainkan pemohon memberikan alasan munasabah untuk meminta maklumat yang sama tersebut.

Bahagian

3 (Akses Kepada Maklumat)

Seksyen

13

Tajuk

Maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga
13 [1]

Setiap jabatan boleh untuk enggan menunjukkan sama ada ia mempunyai maklumat, atau enggan untuk menyampaikan maklumat, di mana jika berbuat demikian ia akan melibatkan penzahiran tidak munasabah maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga.

13 [2]

Subseksyen (1) tidak terpakai jika—

(a) pihak ketiga telah memberi persetujuan secara bertulis
terhadap penzahiran maklumat; atau

(b) orang yang membuat permintaan adalah penjaga yang sah
kepada pihak ketiga atau waris yang sah atau pentadbir
yang sah pihak ketiga yang telah meninggal dunia.

Bahagian

4 (Maklumat Dikecualikan dan Pengecualian)

Seksyen

14

Tajuk

Pengecualian maklumat
14

Perkara di bawah ini adalah dianggap sebagai maklumat yang
dikecualikan—

(a) maklumat yang telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] yang jika didedahkan, akan dengan serius menjejaskan keselamatan negara atau pertahanan negara di mana dengan secara material menjejaskan kebolehan negara melindungi atau mempertahankan kewujudannya atau sempadan kawasan atau kebolehan bertindak balas terhadap penggunaan atau ancaman kekuasaan;

(b) yang mengandungi maklumat yang diperoleh—

(i) daripada pihak ketiga dan menyampaikannya boleh menyebabkan satu tindakan pecah kerahsiaan yang boleh didakwa;

(ii) secara rahsia daripada pihak ketiga dan ia mengandungi rahsia perniagaan atau menyampaikannya mungkin, atau berkemungkinan besar boleh, menjejaskan dengan teruk kepentingan komersil atau kewangan pihak ketiga; atau

(iii) secara rahsia daripada negeri atau organisasi antarabangsa yang lain, dan menyampaikannya mungkin, atau berkemungkinan besar boleh, menjejaskan dengan teruk hubungan dengan negeri atau organisasi antarabangsa tersebut;

(c) maklumat jika sekiranya didedahkan mungkin, atau berkemungkinan besar boleh menjejaskan dengan teruk perumusan dasar yang berkesan atau pembangunan Kerajaan Negeri.

Bahagian

4 (Maklumat Dikecualikan dan Pengecualian)

Seksyen

15

Tajuk

Pengecualian kepada maklumat yang dikecualikan
15 [1]

Walau apa pun seksyen 14—

(a) sebuah jabatan hendaklah memberikan akses kepada maklumat yang dikecualikan kepada pemohon sekiranya kepentingan awam di dalam pendedahan melebihi bahaya pendedahannya;

(b) Kerajaan Negeri hendaklah mempunyai kuasa mendedahkan atau membenarkan pendedahan maklumat yang dikecualikan atau membuang klasifikasi sulit yang diberikan kepada mana-mana maklumat atau dokumen dan membenarkan akses kepadanya di atas budi bicaranya; dan

(c) Pegawai Maklumat boleh membenarkan akses kepada maklumat yang dikecualikan sekiranya maklumat itu diperlukan bagi penyiasatan kesalahan atau salah laku.

15 [2]

Seksyen 14 tidak akan terpakai ke atas maklumat berkaitan dengan apa-apa perkara atau kejadian yang berlaku lebih dua puluh tahun yang lalu sebelum permohonan dibuat oleh pemohon selaras dengan seksyen 6.

Bahagian

4 (Maklumat Dikecualikan dan Pengecualian)

Seksyen

16

Tajuk

Pendedahan separa
16

Walau apa pun yang dinyatakan seksyen 14, di mana maklumat atau dokumen mengandungi maklumat yang dikecualikan, akses akan walau bagaimana pun diberikan kepada pemohon jika sekiranya maklumat yang dikecualikan boleh dibuang atau dipadamkan daripada maklumat dan dokumen dan setakat mana yang boleh, pemohon hendaklah dimaklumkan tentang jumlah maklumat yang
telah dipadamkan.

Bahagian

5 (Badan Maklumat Negeri)

Seksyen

17

Tajuk

Badan Maklumat Negeri
17 [1]

Bagi maksud Enakmen ini, hendaklah ditubuhkan suatu Lembaga Rayuan yang dikenali sebagai Badan Maklumat Negeri.

17 [2]

Pihak Berkuasa Negeri hendaklah, melalui pemberitahuan
dalam Warta Negeri, melantik—

(a) seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi bagi Badan Maklumat Negeri itu, iaitu bekas hakim atau peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi atau bekas anggota Perkhidmatan kehakiman dan Perundangan Malaysia atau yang berpengalaman dari segi kehakiman atau kelayakan dan pengalaman sesuai yang lain; dan

(b) beberapa orang yang layak, tidak melebihi enam orang, yang difikirkan memadai oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk menjadi ahli tambahan Badan Maklumat Negeri.

17 [3]

Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (2) hendaklah menjadi bebas dan tidak memegang jawatan politik atau memegang apa-apa jawatan di dalam mana-mana parti politik.

17 [4]

Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (2) hendaklah, memegang jawatan selama suatu tempoh tidak melebihi tiga tahun yang hendaklah ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam pemberitahuan pelantikan itu, tetapi layak dilantik semula.

17 [5]

Pihak Berkuasa Negeri boleh membatalkan pelantikan seseorang ahli Badan Maklumat Negeri sewaktu tempoh jawatan tanpa memberi apa-apa sebab di dalam keadaan berikut:

(a) ahli tersebut tidak lagi berkecuali seperti yang dikehendaki di bawah subseksyen (3);

(b) ahli tersebut didapati bersalah yang boleh dihukum dengan penjara;

(c) ahli tersebut telah bertindak secara tidak jujur dan melakukan perbuatan tidak berakhlak atau bermoral;

(d) ahli tersebut tidak waras atau merupakan bankrap yang belum dilepaskan daripada kebankrapan selepas dihukum sebagai bankrap; atau

(e) ahli tersebut bertindak atau gagal bertindak dalam cara yang menggagalkan dan menghalang tujuan Enakmen ini.

17 [6]

Apabila Pengerusi tidak dapat menjalankan fungsinya oleh sebab sakit, tidak berada di Malaysia, atau oleh apa-apa sebab lain, Timbalan Pengerusi hendaklah menjalankan fungsi Pengerusi itu; dan pada menjalankan fungsi itu, Timbalan Pengerusi hendaklah, bagi maksud Enakmen ini, disifatkan sebagai Pengerusi Badan Maklumat Negeri.

17 [7]

Bila mana timbul suatu keperluan untuk memanggil Badan Maklumat Negeri bermesyuarat, Pengerusi hendaklah meminta mana-mana dua orang daripada ahli yang dilantik di bawah perenggan (2)(b) supaya berkhidmat dengannya dalam Badan Maklumat Negeri itu; dan menjadi kewajipan tiap-tiap ahli yang
diminta sedemikian, berkhidmat dalam Badan Maklumat Negeri, melainkan jika dia dikecualikan oleh Pengerusi, atas alasan yang difikirkan munasabah oleh Pengerusi, daripada berkhidmat sedemikian.

17 [8]

Seseorang ahli Badan Maklumat Negeri yang mempunyai sesuatu kepentingan dalam apa-apa perkara yang ada di hadapan Badan Maklumat Negeri hendaklah, sebaik sahaja dia sedar akan kepentingannya, menzahirkan fakta dan jenis kepentingan itu kepada Pengerusi dan tidak boleh mengambil bahagian atau bahagian selanjutnya dalam prosiding Badan Maklumat Negeri
itu yang berhubungan dengan perkara itu.

17 [9]

Tiap-tiap penzahiran kepentingan yang dibuat di bawah subseksyen (8) hendaklah direkodkan.

17 [10]

Tiap-tiap keputusan Badan Maklumat Negeri hendaklah dibuat oleh majoriti Badan tersebut.

17 [11]

Berkenaan dengan sesuatu rayuan di hadapannya, Badan
Maklumat Negeri—

(a) hendaklah mendengar perayu dan Pegawai Maklumat dan hendaklah meminta Pegawai Maklumat tersebut untuk memberikan alasan bagi menyokong keputusan menafikan akses kepada maklumat;

(b) boleh memanggil dan memeriksa saksi;

(c) boleh menghendaki mana-mana orang mengikat dirinya atas sumpah untuk menyatakan yang benar;

(d) boleh memaksa pengemukaan dan penghantar serahan apa-apa dokumen yang difikirkan berkaitan atau material olehnya bagi rayuan itu termasuk dokumen yang akses kepadanya ditolak oleh Pegawai Maklumat berkenaan dengan syarat bahawa maklumat tersebut hendaklah tetap
dirahsiakan;

(e) boleh mengesahkan, mengubah atau mengakas perintah atau keputusan yang dirayu; dan

(f) boleh membuat apa-apa perintah sama ada yang diperuntukkan atau tidak oleh, dan yang selaras dengan Enakmen ini.

17 [12]

Tiap-tiap orang yang dipanggil oleh Badan Maklumat Negeri untuk menghadiri prosiding diwajibkan untuk hadir di tempat dan pada masa yang ditentukan dalam saman itu dan tiap-tiap orang yang dikehendaki oleh Badan Maklumat Negeri untuk mengemukakan atau menghantar serah apa-apa dokumen kepadanya atau kepada mana-mana pekhidmat awam diwajibkan untuk mengemukakan atau menghantar serah dokumen sedemikian.

17 [13]

Semua saman, notis dan perintah yang dikeluarkan, dibuat, atau diberi di bawah tandatangan Pengerusi hendaklah disifatkan sebagai dikeluarkan, dibuat, atau diberikan oleh Badan Maklumat Negeri.

17 [14]

Sesuatu perintah yang dibuat oleh Badan Maklumat Negeri atas suatu rayuan di hadapannya adalah muktamad, tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah, dan hendaklah mengikat semua pihak kepada rayuan itu atau yang terlibat dalam perkara itu dengan syarat bahawa pemohon yang tidak berpuas hati dengan keputusan Badan Maklumat Negeri boleh, dalam masa dua puluh satu hari daripada tarikh dikeluarkan perintah Badan Maklumat Negeri, merayu terhadap perintah tersebut di Mahkamah.

17 [15]

Bagi tujuan memutuskan rayuan, mahkamah akan diberikan akses kepada maklumat yang dipersoalkan jika diperlukan dengan syarat maklumat tersebut hendaklah tetap dirahsiakan.

17 [16]

Bagi maksud Kanun Keseksaan [Akta 574], Badan Maklumat Negeri hendaklah disifatkan sebagai suatu mahkamah dan tiap-tiap ahlinya hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam.

17 [17]

Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat kaedah-kaedah untuk menetapkan tatacara rayuan kepada Badan Maklumat Negeri dan fi yang kena dibayar berkenaan dengannya, dan mengawal selia prosiding Badan Maklumat Negeri.

17 [18]

Ahli Badan Maklumat Negeri hendaklah dibayar, daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri, elaun yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Bahagian

6 (Am)

Seksyen

18

Tajuk

Kesalahan
18 [1]

Adalah menjadi suatu kesalahan jika seseorang itu—

(a) menggunakan maklumat yang diperoleh di bawah Enakmen ini bertentangan dengan alasan dan tujuan permohonan dibuat jika kesannya memudaratkan;

(b) memberikan maklumat palsu dalam borang permohonan di bawah subseksyen 6(1);

(c) memusnahkan, memadam, mengubah, merosakkan, menyimpan, menahan atau memalsukan sebarang maklumat di dalam kawalan jabatan dengan niat untuk menghalang pendedahan sebarang maklumat atau mana-mana bahagiannya atau menyekat akses kepada maklumat;

(d) dengan sengaja memberi maklumat yang salah atau mengelirukan kepada pemohon; atau

(e) dengan sengaja menyekat atau menafikan akses kepada maklumat selain daripada maklumat yang dikecualikan.

18 [2]

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bahagian

6 (Am)

Seksyen

19

Tajuk

Pendakwaan
19

Tiada pendakwaan boleh dimulakan bagi kesalahan di bawah subseksyen 18(1) tanpa keizinan secara bertulis daripada Pendakwa Raya.

Bahagian

6 (Am)

Seksyen

20

Tajuk

Kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat peraturan- peraturan
20 [1]

Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat apa-apa peraturan yang difikirkan perlu atau wajar bagi maksud melaksanakan peruntukan Enakmen ini.

20 [2]

Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), peraturan boleh dibuat bagi kesemua atau mana-mana maksud yang berikut:

(a) menetapkan borang dan fi bagi maksud Enakmen ini;

(b) menetapkan tanggungjawab Pegawai Maklumat; dan

(c) peraturan lain yang difikirkan wajar dan patut oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Bahagian

6 (Am)

Seksyen

21

Tajuk

Perlindungan
21

Tiada pendakwaan, denda, sekatan, saman atau prosiding lain yang akan dikenakan atau boleh dibawa, dimulakan atau diteruskan di dalam apa jua mahkamah terhadap—

(a) Pegawai Maklumat tersebut; atau

(b) Pegawai lain daripada jabatan atau Badan Maklumat Negeri,

tentang sebarang pendedahan maklumat yang dilakukan oleh
pegawai tersebut dengan ikhlas dan suci dalam melaksanakan
sebarang kuasa, tugas atau tanggungjawab di bawah Enakmen ini
atau mana-mana peraturan yang dibuat berkenaan Enakmen ini.

Bahagian

6 (Am)

Seksyen

22

Tajuk

Laporan
22 [1]

Badan Maklumat Negeri hendaklah menyediakan dan menyerahkan laporan tahunan kepada Dewan Negeri yang mengandungi maklumat yang akan ditetapkan oleh Dewan Negeri, yang akan pada paling minimum, memasukkan tentang tahun yang berkaitan bagi laporan tersebut:

(a) jumlah keseluruhan permohonan untuk maklumat dibuat kepada jabatan;

(b) tindakan yang diambil oleh setiap jabatan bagi setiap permohonan yang terima pada tahun tersebut;

(c) jumlah permohonan yang telah ditolak oleh jabatan, alasan penolakan dan jumlah bagi setiap pengecualian di Bahagian IV atau mana-mana peruntukan Enakmen ini digunakan sebagai asas penolakan;

(d) jumlah bilangan kejadian di mana maklumat yang dipohon tidak boleh ditemui dan butiran bagi langkah yang diambil untuk mengenal pastinya;

(e) bilangan rayuan yang dibuat pada tahun tersebut, dan keputusan bagi rayuan tersebut serta alasan bagi rayuan tersebut yang menyebabkan tiada pendedahan maklumat seperti yang dipohon;

(f) purata bilangan hari yang diambil bagi memproses permohonan maklumat yang pelbagai jenis;

(g) kadar atau lingkungan fi terpakai yang dikenakan bagi permohonan berdasarkan kepada pelbagai jenis permohonan, yang mana satu terpakai, purata jumlah fi yang dikenakan bagi setiap permintaan dan jumlah
kesemua fi yang dikenakan;

(h) Pegawai Maklumat dan aktiviti jabatannya menurut subseksyen 3(2); dan

(i) sebarang cadangan untuk memperbaiki proses bagi menambah baik akses kepada maklumat,

dan Dewan Negeri hendaklah menerbitkan laporan yang diterima
daripada kesemua jabatan.

22 [2]

Bagi tujuan seksyen ini, “penerbitan” ertinya untuk disediakan dalam bentuk yang secara amnya boleh diakses orang awam dan termasuk dan tidak terhad kepada mencetak, menyiar, mempamerkan di laman sesawang dan penyebaran lain berbentuk elektronik.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.