Semua Seksyen

Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007.

Bahagian

BAHAGIAN I - Permulaan

Seksyen

1

Tajuk

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
1 [1]

Enakmen ini boleh dinamakan Enakmen Perladangan
Unggas (Negeri Selangor) 2007.

1 [2]

Enakmen ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.

Bahagian

BAHAGIAN I - Permulaan

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“aktiviti yang berkaitan penternakan unggas” ertinya pemprosesan unggas dan sisanya atau aktiviti yang berkaitan yang lain sebagaimana  ditentukan oleh Pengarah melalui perintah yang disiarkan dalam
Warta;

“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh Enakmen ini atau oleh
peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya;

“fi yang ditetapkan” ertinya fi yang ditetapkan dalam Jadual
Kedua atau ditetapkan oleh mana-mana peraturan atau perinta yang dibuat di bawahnya;

“karkas unggas” ertinya bangkai atau sebahagian daripada bangkai, mana-mana unggas yang mati disembelih atau dengan cara lain;

“ladang unggas” ertinya mana-mana tempat di mana perladangan unggas dijalankan termasuk tempat yang digunakan untuk menyimpan unggas, membiak atau menternak unggas atau menjalankan mana-
mana aktiviti berkaitan penternakan unggas;

“lesen” ertinya lesen yang dikeluarkan di bawah Enakmen ini;

“loji” ertinya mana-mana tempat di mana pemprosesan unggas dijalankan;

“memproses unggas” termasuk—

(a) menyembelih, membuang bulu, membuang tulang atau membuang isi perut unggas;

(b) memotong unggas yang telah disembelih kepada bahagian-bahagian; dan

(c) melakukan mana-mana perbuatan ke arah penyediaan bagi pengilangan dan mengeluarkan produk sampingan daging unggas, untuk dijual;

“Negeri” ertinya Negeri Selangor;

“ofal” termasuk usus, perut, jantung, hati, paru-paru, limpa,ginjal, hempedal, darah atau mana-mana bahagian dalaman lain unggas;

“pegawai diberi kuasa” ertinya mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pengarah di bawah subseksyen 3(1);

“pegawai pelesen” ertinya mana-mana pegawai diberi kuasa yang ditentukan oleh Pengarah di bawah subseksyen 3(3) dan termasuk Pengarah;

“pelan susun atur” berhubungan dengan mana-mana ladang unggas, ertinya pelan susun atur yang dikemukakan kepada pegawai pelesen berserta dengan satu permohonan untuk mendapatkan lesen;

“pembiakan” termasuk—

(a) penyimpanan unggas pembiak;
(b) penternakan unggas pembiak;
(c) pengeluaran telur tetasan; dan
(d) pengeluaran anak unggas umur sehari;

“pemegang lesen” ertinya mana-mana orang yang kepadanya lesen telah dikeluarkan dan termasuk mana-mana orang yang menjaga, atau menjalankan kawalan terhadap, sesuatu ladang unggas atau aktiviti yang berkaitan dengan unggas;

“Pengarah” ertinya Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Selangor;

“peraturan-peraturan” ertinya peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 33;

“perladangan unggas” termasuk melakukan mana-mana satu atau lebih aktiviti yang berikut:

(a) menternak unggas pedaging;
(b) menternak unggas penelur;
(c) menternak dan membiak unggas baka;
(d) mengendalikan tempat penetasan; dan
(e) menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan unggas;

“Pihak Berkuasa Negeri” ertinya Pihak Berkuasa Negeri
Selangor;
“produk sampingan daging unggas” termasuk nuget, bebola
daging dan produk seumpama yang lain tetapi tidak termasuk
ofal dan sisa unggas;
“rumah kediaman” ertinya satu kelompok rumah tidak kurang
daripada lima rumah yang berpenghuni, tidak termasuk rumah
setinggan atau rumah yang disediakan dalam ladang unggas;
“sisa kumbahan unggas” ertinya mana-mana sisa kumbahan
yang dilepaskan dari ladang unggas;
“sisa unggas” termasuklah—
(a) tinja, ekskreta dan bulu;
(b) sisa makanan, kulit telur dan telur tembelang;
(c) habuk papan, reja papan dan bahan serap lain yang
digunakan sebagai alas atas lantai bangsal unggas;
dan
(d) bahagian unggas yang lazimnya tidak dimakan olehmanusia;

“tempat penetasan” ertinya mana-mana premis yang digunakan untuk tujuan pengeraman dan tetasan telur-telur bernas bagi menghasilkan anak unggas berumur sehari;

“unggas” termasuklah ayam, itik, angsa, ayam belanda, ayam mutiara, puyuh, merpati, burung unta dan burung emu daripada apa-apa jantina, umur, baka atau generasi dan burung lain yang ditentukan oleh Pengarah melalui perintah yang disiarkan dalam Warta;

“unggas pembiak” ertinya mana-mana unggas jantan atau betina daripada berbagai umur dan generasi yang digunakan untuk mengeluarkan telur bernas dan anak unggas umur sehari;

“ubat” ertinya apa-apa bahan atau campuran yang digunakan secara dalaman atau luaran bagi maksud rawatan, profilaktik atau penggalak pertumbuhan atau bagi maksud mengubahsuaikan fungsi fisiologi atau tingkah laku unggas.

Bahagian

BAHAGIAN II - Pentadbiran

Seksyen

3

Tajuk

Pelantikan pegawai diberi kuasa
3 [1]

Bagi maksud Enakmen ini, Pengarah boleh melantik secara
bertulis mana-mana pegawai awam sebagai seorang pegawai diberi kuasa.

3 [2]

Seorang pegawai diberi kuasa hendaklah menunjukkan,
apabila diminta, kuasa bertulis yang dikeluarkan kepadanya oleh Pengarah.

3 [3]

Bagi maksud Enakmen ini, Pengarah boleh menentukan
secara bertulis seorang pegawai diberi kuasa sebagai pegawai
pelesen.

Bahagian

BAHAGIAN II - Pentadbiran

Seksyen

4

Tajuk

Pegawai diberi kuasa boleh memohon bantuan awam
4 [1]

Seseorang pegawai diberi kuasa boleh, selepas memperkenalkan dirinya dengan munasabah, meminta bantuan daripada mana-mana orang awam dalam menjalankan fungsinya di bawah Enakmen ini.

4 [2]

Mana-mana orang yang enggan memberikan bantuan apabila
diminta untuk berbuat demikian oleh seorang pegawai diberi kuasa melakukan kesalahan.

Bahagian

BAHAGIAN II - Pentadbiran

Seksyen

5

Tajuk

Menyimpan dan menyelenggara daftar
5 [1]

Pengarah hendaklah menyimpan dan menyenggara atau
menyebabkan disimpan dan disenggara suatu daftar ladang unggas yang dilesenkan di bawah Enakmen ini.

5 [2]

Daftar tersebut hendaklah mengandungi butir-butir
berikut:
(a) nama dan butir-butir peribadi pemegang lesen;
(b) jika ladang unggas itu didirikan di atas tanah bukan milik
pemegang lesen, nama dan butir-butir peribadi tuan punya
tanah berdaftar;
(c) nama perdagangan atau perniagaan dan lokasi ladang
unggas itu;
(d) butir-butir lesen yang dikeluarkan berhubungan dengan
ladang unggas itu; dan
(e) apa-apa butiran atau maklumat lain sebagaimana difikirkan perlu oleh Pengarah bagi maksud Enakmen ini.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

6

Tajuk

Keperluan untuk lesen
6 [1]

Tertakluk kepada subseksyen (3), tiada seorang pun boleh
mengusahakan atau menjalankan perladangan unggas melainkan jika suatu lesen di bawah Enakmen ini telah dikeluarkan kepadanya.

6 [2]

Walau apa jua pun yang berlawanan dalam Enakmen ini, setiap ladang unggas hendaklah mempunyai lesen yang berasingan.

6 [3]

Subseksyen (1) hendaklah terpakai hanya bagi perladangan
unggas dengan kapasiti ladang yang ditetapkan.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

7

Tajuk

Permohonan untuk lesen
7 [1]

Permohonan untuk mendapatkan lesen hendaklah dibuat
kepada pegawai pelesen dengan menggunakan Borang A sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual Pertama.

7 [2]

Permohonan di bawah subseksyen (1) hendaklah dikemukakan berserta dengan—
(a) satu pelan susun atur tapak dan lokasi mengenai ladang
unggas yang dicadang itu yang menunjukkan—
(i) sempadan ladang dan sempadan tanah di mana
ladang itu akan didirikan;
(ii) dimensi dan reka bentuk bangunan ladang dan
struktur ladang itu; dan
(iii) lokasi tempat yang menunjukkan jarak mengikut
garisan lurus mana-mana rumah kediaman,
sekolah, klinik atau tempat ibadat yang sedia
ada semasa permohonan dibuat, yang berada
dalam lingkungan minimum dua ratus meter dari
mana-mana bangunan atau struktur yang akan
digunakan bagi penternakan unggas di ladang
yang dicadangkan itu;

(b) suatu salinan yang diperakui sah hakmilik tanah di mana
ladang unggas didirikan atau akan didirikan;
(c) jika tanah tersebut tidak dipunyai oleh pemohon, suatu
persetujuan bertulis daripada tuan punya berdaftar tanah;
dan
(d) satu salinan yang diperakui sah pendaftaran perniagaan
atau perakuan pemerbadanan, mengikut mana-mana yang
berkenaan.

7 [3]

Subperenggan (2)(a)(iii) tidak terpakai bagi loji pemprosesan
unggas atau loji menyembelih.

7 [4]

Bagi maksud subperenggan (2)(a)(iii), “rumah kediaman”
tidak termasuk mana-mana rumah setinggan, rumah pekerja atau mana-mana premis lain yang akan dibina atau diadakan di dalam ladang unggas itu sebagai tempat tinggal pekerja.

7 [5]

Fi yang ditetapkan dalam Jadual Kedua hendaklah dibayar
apabila permohonan untuk lesen diluluskan oleh pegawai pelesen atau oleh Pihak Berkuasa Negeri atas rayuan.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

8

Tajuk

Kelulusan atau penolakan lesen
8 [1]

Pegawai pelesen boleh mengeluarkan lesen atas syarat-syarat yang difikirkannya patut bagi maksud Enakmen ini atau boleh enggan untuk mengeluarkan lesen.

8 [2]

Pegawai pelesen boleh enggan untuk mengeluarkan lesen
jika dia berpuas hati—
(a) bahawa ladang unggas itu mungkin boleh mendatangkan
bahaya kesihatan kepada awam;
(b) bahawa ladang unggas itu mungkin boleh memudaratkan
harta benda orang awam;
(c) bahawa ladang unggas itu mungkin boleh mendatangkan
pencemaran alam sekitar, di kawasan di mana ladang di
cadang didirikan; atau
(d) permohonan tidak mematuhi seksyen 7.

8 [3]

Keputusan pegawai pelesen untuk tidak mengeluarkan lesen
boleh dirayu kepada Pihak Berkuasa Negeri dan keputusan Pihak Berkuasa Negeri adalah muktamad.

8 [4]

Rayuan di bawah subseksyen (3) hendaklah dibuat melalui
Pengarah dalam tempoh tiga puluh hari dari pemberitahuan
keputusan itu dan Pengarah hendaklah mengemukakan rayuan itu kepada Pihak Berkuasa Negeri dengan segera.

8 [5]

Jika Pihak Berkuasa Negeri membenarkan rayuan itu,
pegawai pelesen hendaklah, apabila dibayar fi yang ditetapkan,
mengeluarkan lesen kepada pemohon—
(a) mengikut syarat-syarat yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa
Negeri, jika ada; atau
(b) dengan syarat yang difikirkan patut oleh pegawai pelesen
bagi maksud Enakmen ini apabila Pihak Berkuasa Negeri
tidak mengenakan sebarang syarat.

8 [6]

Semasa memberi suatu lesen, pegawai pelesen boleh mengenakan syarat-syarat ke atas lesen sebagaimana yang difikirkan perlu.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

9

Tajuk

Perladangan unggas tanpa lesen ialah suatu kesalahan
9

Mana-mana orang yang mengusahakan atau mengendalikan
ladang unggas tanpa suatu lesen yang sah adalah melakukan
suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda
tidak melebihi sepuluh ribu ringgit tetapi tidak kurang daripada
lima ribu ringgit atau penjara untuk tempoh tidak melebihi dua
tahun atau kedua-duanya.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

10

Tajuk

Kesahan lesen
10 [1]

Lesen, jika tidak dibatalkan terlebih awal, adalah sah untuk tempoh maksimum dua belas bulan dari tarikh ia dikeluarkan melainkan dinyatakan sebaliknya dalam lesen tersebut.

10 [2]

Lesen hendaklah dalam Borang B sebagaimana ditetapkan
dalam Jadual Ketiga.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

11

Tajuk

Pemegang lesen hendaklah mematuhi syarat lesen
11 [1]

Seseorang pemegang lesen hendaklah mematuhi syarat-syarat lesen itu sepanjang tempoh lesen itu berkuat kuasa.

11 [2]

Seseorang pemegang lesen yang melanggar mana-mana
syarat lesen adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila
disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya; dan dalam hal kesalahan berterusan, boleh di denda lima ratus ringgit setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.

11 [3]

Sebagai tambahan dan tanpa prejudis kepada subseksyen (2),
mana-mana pemegang lesen yang didapati bersalah di bawah
subseksyen (2) boleh dibatalkan lesennya atas budi bicara
Pengarah.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

12

Tajuk

Mempamerkan dan mengemukakan lesen
12 [1]

Seseorang pemegang lesen hendaklah mempamerkan lesen
yang sah di suatu tempat yang mudah dilihat di dalam ladang
unggas yang berhubungan dengannya lesen itu dikeluarkan.

12 [2]

Seseorang pemegang lesen hendaklah mengemukakan apabila diminta oleh Pengarah, pegawai pelesen atau pegawai
diberi kuasa, lesen yang sah yang dikeluarkan kepadanya untuk
pemeriksaan.

12 [3]

Mana-mana orang yang tanpa sebab yang munasabah gagal
mempamerkan atau mengemukakan lesen yang sah seperti yang
dikehendaki oleh seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan
dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi
satu ribu ringgit.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

13

Tajuk

Penggantungan atau pembatalan lesen
13 [1]

Pengarah boleh menggantung sesuatu lesen jika dia berpuas
hati dan mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa mana-mana unggas, karkas unggas, sisa unggas atau produk sampingan daging unggas daripada sesuatu ladang unggas boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan awam.

13 [2]

Jika lesen sesuatu ladang unggas telah digantung di bawah
subseksyen (1), Pengarah boleh mengeluarkan perintah—
(a) melarang mana-mana unggas, karkas unggas, sisa unggas
atau produk sampingan daging unggas daripada dibawa keluar dari ladang itu dan perintah itu boleh berkuat kuasa sehingga pemeriksaan atau keputusan dibuat; atau
(b) melupuskan unggas, karkas unggas, sisa unggas atau
produk sampingan daging unggas mengikut cara yang dia berpuas hati tidak akan menimbulkan apa-apa bahaya
kepada kesihatan awam.

13 [3]

Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah di bawah
subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
(4) Pengarah boleh membatalkan sesuatu lesen—
(a) jika dia mendapati bahawa, selepas pemberian lesen itu,
pemegang lesen telah memberikan maklumat palsu atau
membuat pengakuan palsu pada masa permohonan dibuat
di bawah seksyen 7 atau seksyen 36;
(b) jika dia berpuas hati bahawa pemegang lesen telah secara
berulang kali atau berterusan melakukan suatu kesalahan
di bawah Enakmen ini atau di bawah peraturan-peraturan
atau melanggar syarat-syarat lesen; atau
(c) jika pemegang lesen didapati bersalah dan disabitkan
atas mana-mana kesalahan di bawah Enakmen ini atau
di bawah peraturan-peraturan.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

14

Tajuk

Membaharui lesen
14 [1]

Permohonan untuk memperbaharui lesen hendaklah
dikemukakan kepada pegawai pelesen dalam tempoh tidak kurang dari tiga bulan sebelum tarikh luput lesen semasa dan peruntukan subseksyen 7(1) hendaklah terpakai kepada semua permohonan pembaharuan lesen seolah-olah ia adalah permohonan lesen baru di bawah Enakmen ini.

14 [2]

Mana-mana permohonan untuk memperbaharui lesen yang
dikemukakan dalam tempoh kurang daripada tiga bulan tetapi
sebelum tamat tarikh luput lesen semasa hanya akan dilayan oleh pegawai pelesen selepas suatu penalti, yang tidak melebihi satu ratus ringgit sebagaimana yang ditentukan oleh pegawai pelesen, telah dibayar.

14 [3]

Pegawai pelesen tidak boleh memperbaharui lesen di bawah
Enakmen ini dalam keadaan berikut—
(a) jika hal keadaan di mana subseksyen 8(2) terpakai;
(b) jika pemegang lesen telah berulang kali atau berterusan
melakukan kesalahan di bawah Enakmen ini atau di
bawah peraturan-peraturan atau melanggar syarat-syarat
lesen; atau

(c) jika pemegang lesen didapati bersalah dan disabitkan atas
suatu kesalahan di bawah Enakmen ini atau di bawah
peraturan-peraturan.

14 [4]

Jika permohonan untuk memperbaharui lesen dibuat selepas
tarikh tamat lesen semasa, pegawai pelesen boleh menimbangkan permohonan tersebut tertakluk kepada pemohon membayar penalti satu ribu ringgit bagi permohonan lewat.

14 [5]

Keputusan pegawai pelesen untuk tidak memperbaharui
lesen boleh dirayu kepada Pihak Berkuasa Negeri dan keputusan Pihak Berkuasa Negeri adalah muktamad.

14 [6]

Rayuan di bawah subseksyen (5) hendaklah dibuat melalui
Pengarah dalam tempoh tiga puluh hari dari pemberitahuan
keputusan itu dan Pengarah hendaklah mengemukakan rayuan itu kepada Pihak Berkuasa Negeri dengan segera.

14 [7]

Subseksyen 8(5) hendaklah terpakai jika Pihak Berkuasa
Negeri membenarkan rayuan itu.

Bahagian

BAHAGIAN III - Pelesenan

Seksyen

15

Tajuk

Lesen tidak boleh dipindahmilik, diserahhakkan, dsb.
15

Sesuatu lesen tidak boleh dipindahmilikkan, diserahhakkan atau diuruskan selainnya melainkan jika kebenaran bertulis Pengarah telah diperoleh terlebih dahulu dan penerima yang dipindah milik atau penerima serah hak atau mana-mana orang lain yang mengambil alih lesen itu adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang sama pada lesen itu dan peruntukan dalam Enakmen ini seolah-olah dia adalah pemegang lesen asal.

Bahagian

BAHAGIAN IV - Kesalahan-Kesalahan

Seksyen

16

Tajuk

Kesalahan melepaskan sisa unggas atau kumbahan sisa unggas ke dalam sungai, anak sungai, dsb.
16 [1]

Adalah menjadi suatu kesalahan bagi pemegang lesen,
sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja—
(a) membuang mana-mana karkas unggas, ofal atau sisa
unggas;

(b) melepaskan kumbahan sisa unggas yang tidak dirawat;
atau
(c) melepaskan kumbahan sisa unggas yang dirawat tetapi tidak mematuhi standard yang dinyatakan dalam peraturan-
peraturan, ke dalam mana-mana sungai, anak sungai, parit, air darat, saluran pengairan atau mana-mana tempat yang tidak diwartakan sebagai kawasan pembuangan sisa.

16 [2]

Seseorang pemegang lesen disifatkan telah membuang karkas
unggas, ofal, sisa unggas atau melepaskan kumbahan sisa unggas ke dalam sungai, parit, air darat, saluran pengairan atau mana-mana tempat yang tidak diwartakan sebagai kawasan pembuangan sisa jika dia gagal mengambil apa-apa langkah pencegahan untuk mencegah pembuangan atau pelepasan itu.

16 [3]

Mana-mana pemegang lesen yang melanggar subseksyen (1)
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh
dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Bahagian

BAHAGIAN IV - Kesalahan-Kesalahan

Seksyen

17

Tajuk

Kesalahan melepaskan atau mengeluarkan bau busuk atau tidak enak atau debu dari ladang
17 [1]

Seseorang pemegang lesen hendaklah mengambil apa-apa
langkah untuk mencegah—
(a) pelepasan atau pengeluaran bau atau wasap yang tidak
enak atau busuk dari ladang unggasnya; atau
(b) pelepasan atau pengeluaran debu dari ladang unggasnya,
yang mungkin menyebabkan kacau ganggu atau bahaya
kepada kesihatan awam atau kemudaratan kepada harta
awam.

17 [2]

Jika Pengarah menerima apa-apa aduan daripada mana-
mana orang bahawa sesuatu ladang unggas melepaskan atau mengeluarkan bau, wasap atau debu yang tidak enak, busuk atau mungkin menyebabkan kacau ganggu atau bahaya kepada kesihatan awam atau kemudaratan kepada harta awam, Pengarah hendaklah menyebabkan suatu siasatan dibuat mengenai aduan tersebut.

17

Jika, setelah selesai penyiasatan itu, Pengarah berpuas hati
bahawa aduan itu munasabah, Pengarah hendaklah menyebabkan suatu notis tunjuk sebab dihantar kepada pemegang lesen bagi ladang unggas yang berkenaan untuk menunjukkan sebab tentang kenapa lesennya tidak patut dibatalkan dan ladang unggasnya tidak patut ditutup.

17 [4]

Jika pemegang lesen tidak menjawab notis tunjuk sebab itu
dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh notis tersebut, Pengarah boleh membatalkan lesen itu.

17 [5]

Walau bagaimanapun, jika pemegang lesen menjawab notis
tunjuk sebab itu dalam tempoh tiga puluh hari yang dikehendaki di bawah subseksyen (4), Pengarah hendaklah menimbangkan
jawapan itu dan boleh mengambil tindakan yang berikut:
(a) jika dia berpuas hati bahawa keadaan itu boleh diperbaiki,
dia hendaklah menghantar notis kepada pemegang lesen
memintanya mengambil langkah-langkah untuk membaiki
keadaan dalam tempoh seperti yang ditentukan oleh
Pengarah di dalam notis itu dan Pengarah boleh juga
menentukan, jika perlu, langkah-langkah pembaikan yang
perlu diambil; atau
(b) jika Pengarah berpuas hati bahawa keadaan itu tidak dapat diperbaiki, Pengarah hendaklah mengarahkan pembatalan lesen itu dan penutupan ladang unggas itu.

17 [6]

Jika Pengarah bertindak di bawah perenggan 5(a) dan
pemegang lesen tidak mengambil langkah-langkah pembaikan
sebagaimana yang diarahkan, Pengarah boleh membatalkan lesen itu tanpa apa-apa notis selanjutnya kepada pemegang lesen.

17 [7]

Jika Pengarah bertindak di bawah perenggan 5(b), dia
hendaklah menyerahkan atau menyebabkan supaya diserahkan arahan pembatalan itu kepada pemegang lesen dan arahan pembatalan itu hendaklah menyatakan tempoh yang dalamnya ladang unggas itu hendaklah ditutup; dengan syarat bahawa tempoh itu tidak kurang daripada enam bulan dari tarikh penyerahan arahan itu kepada pemegang lesen.

17 [8]

Mana-mana orang yang gagal mematuhi mana-mana arahan
di bawah subseksyen (7) melakukan suatu kesalahan.

Bahagian

BAHAGIAN IV - Kesalahan-Kesalahan

Seksyen

18

Tajuk

Kesalahan membenarkan kawasan pembiakan lalat, serangga atau makhluk perosak
18 [1]

Seorang pemegang lesen hendaklah menjaga dan
menyelenggara kebersihan am ladang unggasnya pada setiap
masa dan hendaklah mengambil langkah-langkah untuk mencegah apa-apa keadaan yang menggalakkan pembiakan lalat, serangga atau makhluk perosak yang boleh menjadi punca kemudaratan kesihatan atau kacau ganggu awam.

18 [2]

Mana-mana pemegang lesen yang, dengan sengaja atau
tidak sengaja, membenarkan atau menyebabkan dibenarkan
ladang unggasnya berada dalam keadaan tersebut yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

18 [3]

Jika Pengarah menerima apa-apa aduan daripada mana-
mana orang bahawa ladang unggas itu berada dalam keadaan yang menggalakkan pembiakan lalat, serangga atau makhluk
perosak yang boleh menjadi punca kemudaratan kesihatan atau
kacau ganggu awam, Pengarah boleh menyebabkan suatu siasatan dibuat mengenai aduan itu.

18 [4]

Peruntukan subseksyen 17(3) – (8) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi seksyen ini.

Bahagian

BAHAGIAN IV - Kesalahan-Kesalahan

Seksyen

19

Tajuk

Kesalahan menggunakan ubat dilarang atau menyalahgunakan ubat
19 [1]

Seseorang pemegang lesen hendaklah mengambil apa-apa
langkah untuk mencegah ladang unggasnya—
(a) menggunakan apa-apa ubat yang dilarang oleh pihak
berkuasa; atau

(b) menggunakan apa-apa ubat dengan cara yang boleh
mendatangkan bahaya kepada kesihatan awam, sebagaimana
yang dinyatakan di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366]
dan Akta Makanan 1983 [Akta 281] atau perundangan
subsidiari yang dibuat di bawahnya.

19 [2]

Mana-mana pemegang lesen yang, dengan sengaja atau
tidak sengaja, membenarkan atau menyebabkan dibenarkan ladang unggasnya berada dalam keadaan yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan.

19 [3]

Pengarah, jika atas pemeriksaan, berpuas hati bahawa
pemegang lesen telah melanggar seksyen ini, hendaklah mengambil tindakan di bawah subseksyen 13(1).

Bahagian

BAHAGIAN IV - Kesalahan-Kesalahan

Seksyen

20

Tajuk

Pengakuan dan maklumat palsu
20

Mana-mana orang—
(a) memberi maklumat—
(i) yang palsu; atau
(ii) yang dipercayai adalah palsu atau tidak benar;
atau

(b) membuat apa-apa pengakuan palsu bagi maksud mana-mana permohonan, atau semasa menjawab apa-apa pertanyaan daripada Pengarah, pegawai pelesen atau pegawai diberi kuasa bagi apa-apa maklumat di bawah Enakmen ini, melakukan suatu kesalahan.

Bahagian

BAHAGIAN IV - Kesalahan-Kesalahan

Seksyen

21

Tajuk

Halangan menyalahi undang-undang ialah suatu kesalahan
21 [1]

Mana-mana orang yang tanpa alasan yang sah menghalang
atau menyekat atau membantu dalam menghalang atau menyekat seseorang pegawai pelesen, pegawai diberi kuasa atau pegawai polis dalam perjalanan atau pelaksanaan sah mana-mana kuasa atau tugasnya di bawah Enakmen ini; atau

21 [2]

Menghalang orang lain daripada memberi bantuan atau
kerjasama kepada seseorang pegawai pelesen, pegawai diberi
kuasa atau pegawai polis dalam perjalanan tugasnya di bawah
Enakmen ini, adalah melakukan suatu kesalahan.

Bahagian

BAHAGIAN V - Penguatkuasaan dan Pendakwaan

Seksyen

22

Tajuk

Pegawai pelesen, dsb., boleh memasuki ladang unggas dan menjalankan siasatan
22 [1]

Bagi maksud Enakmen ini, pegawai pelesen atau pegawai
diberi kuasa boleh, pada bila-bila masa, memasuki dan melakukan pemeriksaan terhadap mana-mana ladang unggas jika dia mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan telah dilakukan di bawah Enakmen ini dan menjalankan perkara yang berikut—
(a) mengambil apa-apa sampel, ubat dan gambar, yang
difikirkannya perlu;
(b) memeriksa mana-mana buku, rekod dan dokumen yang
dijumpai di ladang unggas itu atau mana-mana premis
yang terdapat di dalamnya dan membuat salinan buku,
rekod atau dokumen yang diperiksa; atau
(c) merekodkan apa-apa maklumat mengenai mana-mana
penyiasatan dan pemeriksaan untuk membuktikan bahawa
suatu kesalahan telah dilakukan di bawah Enakmen
ini.

22 [2]

Dalam menjalankan kuasanya di bawah subseksyen (1), pegawai pelesen atau pegawai diberi kuasa boleh memasuki mana-mana premis yang terdapat di dalam ladang unggas itu, dengan atau tanpa kebenaran tuan punyanya.

Bahagian

BAHAGIAN V - Penguatkuasaan dan Pendakwaan

Seksyen

23

Tajuk

Kuasa penyiasatan
23 [1]

Seseorang pegawai pelesen atau pegawai diberi kuasa
hendaklah mempunyai kuasa untuk menyiasat perlakuan sesuatu kesalahan di bawah Enakmen ini atau di bawah peraturan-peraturan.

23 [2]

Seseorang pegawai pelesen atau pegawai diberi kuasa
boleh, berhubung dengan mana-mana penyiasatan berkenaan
dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan di bawah Enakmen ini atau di bawah peraturan-peraturan, menjalankan kuasa-kuasa khas berhubung dengan penyiasatan polis kecuali bahawa kuasa untuk menangkap tanpa waran yang diberikan oleh Kanun Tatacara Jenayah bagi kesalahan boleh ditangkap tidak boleh dijalankan olehnya.

Bahagian

BAHAGIAN V - Penguatkuasaan dan Pendakwaan

Seksyen

24

Tajuk

Sanksi untuk mendakwa
24

Tiada apa-apa pendakwaan boleh dimulakan bagi apa-apa
kesalahan di bawah seksyen 20 dan 21 terlebih dahulu mendapat persetujuan bertulis daripada Pendakwaraya.

Bahagian

BAHAGIAN V - Penguatkuasaan dan Pendakwaan

Seksyen

25

Tajuk

Hal perkara kesalahan boleh disita dan dirampas
25 [1]

Pegawai Pelesen atau pegawai diberi kuasa boleh memasuki
mana-mana ladang unggas jika dia mendapati—
(a) bahawa ladang unggas itu tidak mempunyai lesen; atau
(b) bahawa mana-mana orang, berhubungan dengan ladang
unggas itu, telah disampaikan arahan di bawah subseksyen
17(7) atau yang diberi arahan di bawah subseksyen 36(7),
telah tidak mematuhi arahan tersebut,

dan—
(A) boleh menyita dan merampas semua unggas, karkas unggas, sisa unggas dan produk sampingan daging unggas;
dan

(B) boleh merobohkan dan mengalih semua atau sebahagian
struktur dan bangunan ladang, yang didapati di atas ladang itu.

25 [2]

Semua unggas, karkas unggas, sisa unggas dan produk
sampingan daging unggas yang disita menurut subseksyen (1)
hendaklah dilupuskan dengan lelongan awam dan cara lain
sebagaimana yang difikirkan perlu oleh pegawai pelesen atau
pegawai diberi kuasa dan hasil dari jualan itu hendaklah digunakan untuk menanggung segala perbelanjaan yang dilakukan dalam penyitaan dan perobohan dan pengalihan struktur dan mana-mana bangunan di ladang unggas itu dan apa-apa lebihannya hendaklah dikembalikan kepada tuan punya dan jika tuan punya tidak dapat ditentukan hendaklah dirujukkan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah tentang pelupusan lebihan itu; dan mahkamah boleh, jika berpuas hati bahawa tuan punya itu tidak dapat ditentukan, membuat perintah supaya lebihan itu dikreditkan ke dalam hasil Kerajaan.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

26

Tajuk

Mahkamah boleh memerintah pelucuthakan
26

Mahkamah yang mensabitkan mana-mana orang dengan
sesuatu kesalahan di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan boleh, sebagai tambahan kepada apa-apa perintah yang dibuatnya, memerintahkan supaya dilucuthakkan mana-mana unggas, karkas unggas, sisa unggas atau produk sampingan daging unggas yang berkenaan dengannya kesalahan itu dilakukan.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

27

Tajuk

Penalti bagi kesalahan yang tidak diperuntukkan selainnya
27

Mana-mana orang, selain sesuatu pertubuhan perbadanan,
termasuk mana-mana Pengarah atau pegawainya, yang melakukan kesalahan di bawah Enakmen ini yang mengenainya tiada penalti diperuntukkan dengan nyata boleh, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya; dan bagi kesalahan kali kedua atau kesalahan seterusnya didenda tidak melebihi lima belas ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau
kedua-duanya.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

28

Tajuk

Kesalahan oleh pertubuhan perbadanan
28 [1]

Jika mana-mana orang yang melakukan kesalahan
di bawah Enakmen ini ialah suatu pertubuhan perbadanan, ia
boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit dan bagi kesalahan kali kedua atau kesalahan seterusnya, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit.

28 [2]

Jika kesalahan yang dilakukan oleh sesuatu pertubuhan
perbadanan dibuktikan telah dilakukan dengan keizinan atau
pembiaran atau boleh dikaitkan dengan apa-apa kelalaian atau
selainnya atas pihak mana-mana pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai serupa itu yang lain bagi pertubuhan perbadanan itu atau mana-mana orang yang berupa bertindak atas sifat sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, pengarah, pengurus, setiausaha, pegawai atau orang itu melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum di bawah seksyen 27.

28 [3]

Jika seseorang ejen atau pekhidmat sesuatu pertubuhan
perbadanan melakukan suatu kesalahan atau melakukan sesuatu atau meninggalkan dengan melakukan sesuatu (yang jika dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan oleh pertubuhan perbadanan itu menjadi suatu kesalahan di bawah Enakmen ini), pertubuhan perbadanan itu hendaklah, walau pun ia tidak tahu mengenai kesalahan itu, disifatkan telah melakukan kesalahan itu dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman yang ditetapkan bagi kesalahan itu melainkan ia membuktikan bahawa—
(a) perbuatan atau peninggalan yang diadukan bukan dalam
ruang lingkup biasa pekerjaan ejen atau pekhidmat itu;
atau
(b) perbuatan atau peninggalan yang diadukan itu telah dibuat atau dilakukan tanpa kebenarannya atau pembiarannya dan bahawa dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah untuk mengelakkan perlakuan atau peninggalan itu sebagaimana yang sepatutnya diambil setelah mengambil kira segala hal keadaan kes itu.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

29

Tajuk

Ladang unggas yang dikecualikan
29 [1]

Tertakluk kepada subseksyen (2), Enakmen ini tidak
terpakai bagi mana-mana ladang yang ditentukan oleh Pengarah sebagai suatu ladang unggas yang dikecualikan.

29 [2]

Pengarah tidak boleh menentukan mana-mana ladang unggas
sebagai dikecualikan di bawah Enakmen ini melainkan jika dia
berpuas hati bahawa pengecualian itu perlu untuk melaksanakan apa-apa dasar ekonomi atau sosial kerajaan yang berhubungan dengan usaha untuk mengurangkan atau membasmi kemiskinan di dalam mana-mana bahagian tertentu Negeri.

29 [3]

Walau apa pun subseksyen (1), Pengarah boleh, bagi
maksud menjamin kesihatan awam, mencegah kemudaratan harta awam dan pencemaran alam sekitar, mengeluarkan apa-apa arahan yang difikirkannya perlu berhubung dengan pengurusan atau pengendalian ladang unggas yang dikecualikan menurut seksyen ini.

29 [4]

Mana-mana orang yang tidak mematuhi mana-mana arahan
Pengarah di bawah subseksyen (3) melakukan suatu kesalahan.

29 [5]

Suatu perakuan yang ditandatangani oleh Pengarah yang
memperakukan bahawa sesuatu ladang unggas ialah suatu ladang unggas yang dikecualikan hendaklah menjadi bukti muktamad mengenai hakikat itu.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

30

Tajuk

Pengarah boleh mengkompaun kesalahan
30 [1]

Kecuali bagi kesalahan di bawah seksyen 20 dan 21, semua
kesalahan lain di bawah Enakmen ini dan peraturan-peraturan
boleh dikompaun oleh Pengarah.

30 [2]

Dalam mengkompaun mana-mana kesalahan, Pengarah
hendaklah mengarahkan pegawai pelesen untuk membuat tawaran dalam borang yang ditetapkan kepada pesalah untuk mengkompaun kesalahan tersebut dalam tempoh yang ditentukan oleh Pengarah
dalam tawaran itu tertakluk kepada yang berikut:

(a) tempoh tawaran hendaklah tidak melebihi tiga puluh hari dari tarikh tawaran dikeluarkan; dan
(b) jumlah kompaun yang ditawarkan hendaklah tidak melebihi dua ribu ringgit tetapi tidak kurang daripada tiga ratus ringgit.

30 [3]

Jika pesalah menerima tawaran untuk mengkompaun itu
dalam tempoh yang ditentukan, Pengarah hendaklah mengkompaun kesalahan itu dan selepas itu hendaklah tiada pendakwaan selanjutnya terhadap kesalahan itu boleh dibuat.

30 [4]

Dalam mana-mana kes yang lain, Pengarah hendaklah
meneruskan pendakwaan terhadap pesalah.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

31

Tajuk

Pematuhan kepada undang-undang bertulis yang lain
31

Pengeluaran mana-mana lesen di bawah Enakmen ini tidak
mengesahkan apa-apa perbuatan atau tindakan yang menghendaki permit, kebenaran atau kelulusan tertentu di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain dan pemegang lesen tidak dikecualikan daripada mematuhi kehendak-kehendak undang-undang bertulis yang lain itu berkenaan dengan permit, kebenaran atau kelulusan itu.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

32

Tajuk

Perlindungan pegawai awam dan Pihak Berkuasa Negeri
32

Tiada apa-apa liabiliti boleh dikenakan ke atas Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana pegawai awam berkenaan dengan apa-apa perbelanjaan, kerosakan atau siasatan yang berbangkit dalam atau daripada perjalanan sah kuasa yang diberikan atau pelaksanaan sah tugas yang dikenakan di bawah Enakmen ini, dan Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana pegawai itu tidaklah boleh dikenakan apa-apa tindakan, tuntutan atau liabiliti berbangkit dalam atau daripada perjalanan sah kuasa yang diberikan atau pelaksanaan sah tugas yang dikenakan di bawah Enakmen ini.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

33

Tajuk

Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat peraturan-peraturan
33

Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat peraturan-peraturan
bagi melaksanakan peruntukan Enakmen ini dan khususnya tetapi tanpa menjejaskan keluasan apa-apa yang tersebut dahulu dalam peraturan-peraturan itu boleh mengadakan peruntukan bagi atau
berkenaan dengan—
(a) pelesenan dan pendaftaran ladang unggas;
(b) tatacara, fi, borang dan caj bagi maksud Enakmen ini;
(c) standard amalan perladangan dan pemprosesan;
(d) pengkompaunan kesalahan; dan
(e) perkara-perkara lain yang disifatkan perlu oleh Pihak
Berkuasa Negeri bagi maksud Enakmen ini, dan boleh
mengadakan peruntukan bahawa apa-apa perbuatan atau
peninggalan yang melanggar peraturan-peraturan itu ialah
suatu kesalahan.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

34

Tajuk

Mens rea tidak diperlukan bagi kesalahan
34

Dalam mana-mana pendakwaan ke atas sesuatu kesalahan di
bawah Enakmen ini, tidaklah perlu untuk membuktikan bahawa
perbuatan atau peninggalan yang berkenaan disertai dengan niat, pengetahuan atau kelalaian pada pihak pesalah.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

35

Tajuk

Penyerahan notis, perintah, dokumen, dsb.
35

Tiap-tiap notis, perintah atau dokumen yang dikehendaki
atau dibenarkan oleh Enakmen ini atau peraturan-peraturan untuk
diserahkan kepada mana-mana orang boleh diserahkan—
(a) dengan menyampaikannya kepada orang yang berkenaan
atau kepada anggota keluarganya yang dewasa atau
pekhidmat keluarganya;

(b) dengan meninggalkannya di tempat kediamannya atau
tempat perniagaannya yang lazim atau yang terakhir
diketahui dalam suatu sampul surat yang dialamatkan
kepada orang itu; atau

(c) dengan memajukannya dengan cara pos berdaftar dalam
sampul surat yang dialamatkan kepada orang itu di
tempat kediamannya atau tempat perniagaannya yang
lazim atau terakhir diketahui.

35

Jika sesuatu notis, perintah atau dokumen dikehendaki atau
dibenarkan untuk disampaikan kepada mana-mana orang oleh Enakmen ini atau peraturan-peraturan tidak dapat disampaikan dengan usaha yang munasabah, notis, perintah atau dokumen itu boleh diserahkan kepada orang itu dengan cara menampal notis, perintah atau dokumen itu di mana-mana tempat yang mudah dilihat di premis atau alamat yang terakhir diketahui orang itu dan penyerahan itu hendaklah disifatkan penyerahan yang sempurna bagi maksud Enakmen ini dan peraturan-peraturan.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

36

Tajuk

Peruntukan peralihan
36 [1]

Tertakluk kepada subseksyen 6(3), mana-mana orang yang
pada masa Enakmen ini mula berkuat kuasa mengusahakan suatu ladang unggas hendaklah, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh Enakmen ini mula berkuat kuasa mengemukakan permohonan bagi mendapatkan lesen di bawah Enakmen ini.

36 [2]

Seksyen 7 dan 8 adalah terpakai bagi mana-mana permohonan
lesen di bawah seksyen ini.

36 [3]

Mana-mana orang yang disebut dalam subseksyen (1) yang
tidak mengemukakan suatu permohonan untuk mendapatkan lesen dalam tempoh yang dikehendaki melakukan suatu kesalahan.

36 [4]

Sebagai tambahan kepada tetapi tanpa menjejaskan seksyen
8, pegawai pelesen boleh menolak suatu permohonan mendapatkan
lesen yang dibuat menurut seksyen ini jika ia berpuas hati—
(a) bahawa ladang unggas itu mungkin menyebabkan
gangguan melalui pengeluaran bau yang busuk atau debu,
pembiakan lalat, serangga atau makhluk perosak atau
apa-apa faktor lain yang mungkin menjejaskan kesihatan
awam atau memudaratkan penduduk tempatan atau harta
awam dalam lingkungan dua ratus meter minimum garis lurus dari bangunan atau struktur ladang yang digunakan untuk perladangan unggas; atau
(b) bahawa kawasan itu telah ditetapkan untuk pembangunan.

36 [5]

Perenggan (4)(a) tidak terpakai bagi mana-mana loji
pemprosesan dan penyembelihan.

36 [6]

Jika pegawai pelesen enggan meluluskan mana-mana
permohonan di bawah seksyen ini, dia hendaklah menghantar suatu notis kepada pemohon, memberitahu pemohon keengganannya itu dan notis itu hendaklah juga mengarahkan supaya pemohon itu menutup ladang unggas itu dan segala aktiviti yang berkaitan dengannya dalam tempoh enam bulan, atau apa-apa tempoh lain yang dinyatakan dalam notis itu, dari tarikh notis itu.

36 [7]

Seseorang yang kepadanya notis di bawah subseksyen (6)
telah dikeluarkan, hendaklah dengan segera memindahkan semua unggas, karkas unggas, sisa unggas dan produk sampingan daging unggas yang terdapat di ladang unggas itu.

36 [8]

Mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan pegawai
pelesen untuk enggan memberikan lesen menurut permohonan
di bawah seksyen ini boleh merayu kepada Pihak Berkuasa
Negeri melalui Pengarah dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh penerimaan notis di bawah subseksyen (6), dan keputusan Pihak Berkuasa Negeri adalah muktamad.

36 [9]

Subseksyen 8(5) hendaklah terpakai jika Pihak Berkuasa
Negeri membenarkan Rayuan itu.

Bahagian

BAHAGIAN VI - Pelbagai

Seksyen

37

Tajuk

Pihak Berkuasa Negeri boleh menetapkan syarat
37

Di mana Pihak Berkuasa Negeri membenarkan suatu rayuan
di bawah subseksyen 14(6) dan subseksyen 36(8), Pihak Berkuasa Negeri boleh mengenakan syarat tertentu sebagaimana difikirkan perlu.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.