[Selangorkini] Sidang Dewan Negeri Selangor diteruskan pada Isnin

PELABUHAN KLANG, 12 MAC: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan pada 16 Mac ini diteruskan walaupun negara sedang berdepan gelombang kedua Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata kawalan kesihatan ketat diambil termasuk pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke DNS.

“Mereka yang hadir juga diminta mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup hidung dan mulut serta sentiasa membersih tangan.

“Semua pihak diminta memberi kerjasama serta segera mendapatkan rawatan jika rasa kurang sihat,” katanya ditemui pemberita selepas lawatan ke Pusat Logistik Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Amirudin sebelum ini memaklumkan Kerajaan Selangor menangguhkan semua program berskala besar anjurannya yang tidak bersifat kritikal susulan perkembangan membimbangkan Covid-19.

Sumber: Selangorkini, 12 Mac 2020 (Khairul Azran Hussin) 

https://selangorkini.my/2020/03/sidang-dewan-negeri-selangor-diteruskan-pada-isnin/