[Berita Harian] Sidang DUN Selangor: Kerajaan negeri, JAKIM bayar elaun imam RM1,300

Elaun bulanan yang diterima imam di Selangor ketika ini adalah RM1,300, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, RM850 daripada jumlah itu dibayar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala RM450 lagi oleh kerajaan negeri.

Bayaran itu, katanya, bagaimanapun tidak membabitkan elaun bulanan imam masjid yang berada bawah bidang kuasa institusi tertentu seperti Masjid Universiti Teknologi MARA (UiTM), Masjid Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan Masjid Ibnu Sina, Hospital Sungai Buloh.

“Imam semua masjid terbabit dilantik pihak institusi itu sendiri bagi mentadbir masjid di bawah seliaan mereka. Jadi, tiada kelulusan elaun kepada mereka,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat 17 masjid institusi di Selangor, iaitu masing-masing lima di Hulu Langat dan Petaling, Sepang (4), Gombak (2) dan Kuala Selangor (1).

Menteri Besar berkata demikian ketika menjawab soalan Edry Faizal Eddy Yusof (PH-Dusun Tua) berhubung isu elaun imam masjid di negeri ini.

Amirudin, berkata JAKIM turut menyelaras elaun bulanan Imam 1 dan 2 di setiap negeri, iaitu sebanyak RM850.

“Kerajaan Selangor pada 2015 dan 2016 meluluskan sumbangan tambahan kepada imam masjid kariah negeri yang berjumlah RM450,” katanya.

Sumber: 

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/03/542892/sidang-dun-selangor-kerajaan-negeri-jakim-bayar-elaun-imam-rm1300