Speaker Bersama Enam Delegasi Selangor Wakili Dewan Negeri Selangor Sertai Persidangan Parlimen Komanwel (Commonwealth Parliamentary Conference – CPC) KE-64 Di Kampala, Uganda

Speaker Bersama Enam Delegasi Selangor Wakili Dewan Negeri Selangor Sertai Persidangan Parlimen Komanwel (Commonwealth Parliamentary Conference – CPC) KE-64 Di Kampala, Uganda

22 – 29 September 2019

 

22 – 29 September, Uganda: Persidangan Parlimen Komanwel Ke-64 yang dianjurkan oleh Commonwealth Parliamentary Association (CPA) beribu pejabat di Westminster House, London, United Kingdom telah menyaksikan pemilihan Negara Uganda sebagai tuan rumah penganjuran pada tahun 2019. 

Persidangan kali ini yang berlangsung di Kampala, Uganda turut disertai oleh tujuh (7) anggota delegasi Selangor yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Tuan Ng Suee Lim bersama beberapa anggota Ahli Dewan Negeri Selangor, iaitu YB Puan Dr Daroyah binti Alwi (Timbalan Speaker, ADN Sementa), YB Tuan Rizam bin Ismail (Ketua Pembangkang, ADN Sungai Tawar), YB Tuan Lau Weng San (ADN Banting), YB Tuan Mohd Fakhrulrazi bin Mohd Mokhtar (ADN Meru), YB Tuan Sallehudin bin Amiruddin (ADN Kuang) dan Setiausaha Dewan Negeri Selangor, Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar.

Persidangan yang berlangsung selama tujuh (7) hari ini telah membuka peluang yang seluas-luasnya kepada Y.B. Ahli-Ahli Parlimen dan Y.B. Ahli Dewan Negeri daripada Persatuan Parlimen Komanwel seluruh dunia berjumpa dan berkongsi pengalaman berkaitan isu semasa yang boleh dipelajari oleh Y.B. Ahli-Ahli Parlimen dan Y.B. Ahli-Ahli Dewan Negeri. 

Penyertaan ini menjadi lebih bermakna apabila turut disertai oleh Ahli-Ahli Parlimen Malaysia, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee binti Hamzah, serta Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia bersama Setiausaha Dewan masing-masing.

Persidangan ini telah membincangkan beberapa tajuk melalui siri bengkel dan pembentangan kertas kerja yang menyentuh isu dan peranan strategik Y.B. Ahli Parlimen dan Y.B. Ahli Dewan Negeri. Antara Kertas-Kertas Kerja yang telah dibentangkan termasuklah:

i. Pencapaian, Cabaran dan Keberkesanan Intervensi Parlimen 
ii. Inovasi Parlimen: Kesan sains dan teknologi ke atas budaya kerja Parlimen 
iii. Peranan Parlimen dalam membantu Orang Kurang Upaya sebagai pengundi, calon dan Penggubal Undang-Undang
iv. Strategi untuk menangani pengangguran belia
v. Cabaran Komanwel untuk menyediakan polisi bagi mengatasi ketidakseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar
vi. Kesan ‘Brexit’ Britain kepada negara-negara kecil
vii. Budaya hormat, adil dan bermaruah: Pelecehan gender tiada ruang dalam Badan Perundangan
viii. Peranan Parlimen dalam Doktrin Pemisahan Kuasa ke arah meningkatkan ketelusan & akauntabiliti

Salah seorang anggota delegasi dari Selangor, YB Tuan Lau Weng San (ADN Banting) turut membuat pembentangan kertas kerja di hadapan delegasi dari pelbagai negara yang menyentuh berkaitan pengalaman Negeri Selangor dalam melaksanakan doktrin pemisahan kuasa untuk meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti.

Seperti tradisi Persidangan Parlimen Komanwel (CPC) pada tahun-tahun sebelum ini, Setiausaha Dewan Peringkat Komanwel turut mengadakan Mesyuarat dan Makan Malam Setiausaha Dewan bagi Parlimen Komanwel (Society of Clerks-at-the-table (SOCATT). Mesyuarat ini membincangkan peranan setiausaha dalam mentadbir Parlimen / Dewan dan mekanisme penambahbaikan sistem pengurusan sedia ada. Dewan Negeri Selangor turut menyertai mesyuarat ini yang diwakili oleh Setiausaha Dewan Negeri Selangor, Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar.

Pemilihan Ahli Jawatankuasa Commonwealth Parliamentary Association (CPA) menyaksikan pemilihan Datuk Seri Shamsul Iskandar bin Mohd Akin sebagai Bendahari CPA yang baharu. Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Tuan Ng Suee Lim turut menjadi perhatian apabila turut mendapat liputan berita dalam akhbar harian Negara Uganda sebagai anggota delegasi yang menyertai Persidangan parlimen Komanwel yang Ke-64.