Enakmen Pembekalan Air 1997

Bahagian

VIII - Kesalahan dan Penalti

Seksyen

38

Tajuk

Merosakkan Sistem Bekalan Air, Mengalih Anak Sungai, dsb.
38 [1]

Mana-mana orang yang—

(a) dengan sengaja atau dengan cuai merosakkan atau menyebabkan dirosakkan mana-mana konduit, wadah, tangki, pam, perigi, paip, injap, meter atau mana-mana bahagian dari mana-mana sistem bekalan air;

(b) secara menyalahi undang-undang mencurah, mengangkut mengalih atau mengambil air dari mana-mana sistem bekalan air atau sebahagian darinya atau dari mana-mana sumber air dari mana air dibekalkan ke mana-mana sistem bekalan air;

(c) mandi, mengotorkan atau membuang sampah- sarap atau makhluk, yang mati atau hidup, ke dalam mana-mana sumber air daripada mana air dibekalkan ke mana-mana sistem bekalan air;

(d) menghindar atau menghalang Pengarah di dalam menjalankan tugas-tugas, fungsi-fungsi atau kuasa-kuasanya menurut Enakmen ini; atau

(e) mengalihkan atau memusnahkan apa-apa tanda yang dibuat untuk tujuan menunjukkan paras air di. dalam mana-mana sumber air di mana air dibekalkan ke mana-mana sistem bekalan air,

adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya  dan dalam kes di mana kesalahan berterusan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit untuk setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan.

38 [2]

Mana-mana orang yang dengan sengaja atau dengan cuai mencemarkan atau menjadikan tidak suci untuk tujuan diminum air di mana-mana sumber air, adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ratus lima  puluh ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan dalam kes di mana kesalahan itu berterusan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit bagi setiap hari selama  mana kesalahan itu berterusan.

38 [3]

Di mana paip perkhidmatan  ke mana-mana premis telah disambung secara menyalahi undang-undang ke suatu sesalur utama atau ke paip perkhidmatan yang lain yang memberi khidmat ke premis yang lain, ia hendaklah dianggap sehingga sebaliknya dibuktikan bahawa sambungan  secara  menyalahi undang-undang itu telah dibuat oleh penghuni premis yang pertama disebut dan dia adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan dalam kes di mana kesalahan berterusan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit untuk setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.