Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001

Bahagian

1 (Permulaan)

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2 [1]

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:

“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini;

“hartanah” ertinya mana-mana tanah yang dibina atasnya sebarang bangunan untuk aktiviti komersil;

“Kumpulan Wang” ertinya kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah Bahagian IV;

“Lembaga” ertinya Lembaga Perumahan dan Hartanah
Selangor yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;

“Menteri” ertinya Perdana Menteri atau mana-mana Menteri seperti yang ditetapkan olehnya;

“Negeri” ertinya Negeri Selangor. “pemaju berlesen” ertinya pemaju yang dilesenkan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Pengawalan dan Pelesenan) 1966;

“pembangunan perumahan” ertinya pembinaan atau menyebabkan dibina lebih dari empat yunit perumahan di atas mana-mana tanah untuk dijual;

“penghuni yang dibenarkan” ertinya seorang yang dinamakan dalam sesuatu permohonan yang dibuat kepada Lembaga sebagai orang yang ingin menduduki rumah, apartmen atau kediaman lain itu yang telah dijual atau akan dijual oleh Lembaga atau mana-mana orang yang dibenarkan secara bertulis oleh Lembaga untuk menduduki rumah yang berkenaan itu;

“Pengarah Eksekutif” ertinya ketua pegawai eksekutif Lembaga yang dilantik di bawah seksyen 12 dan termasuklah mana-mana pegawai yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Eksekutif;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Lembaga yang dilantik di bawah seksyen 4 dan termasuklah Timbalan Pengerusi serta mana-mana Pengerusi sementara semasa menjalankan tugas-tugas sebagai Pengerusi;

“perbadanan” ertinya sesuatu perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 7;

“perumahan” termasuk apa jua rumah, apartmen, bangunan atau struktur atau mana-mana bahagiannya (sama ada siap atau sebaliknya) yang digunakan atau mempunyai niat digunakan sebagai kediaman;

“perumahan awam” ertinya mana-mana rumah, apartmen atau kediaman lain, termasuk sebarang pembangunan perumahan atau bahagiannya seperti yang ditetapkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa;

“pihak berkuasa awam” ertinya mana-mana pihak berkuasa yang menjalankan kuasa-kuasa yang terletak hak padanya oleh undang-undang Persekutuan atau undang-undang Negeri atau mana-mana orang yang dilantik oleh atau bertindak bagi mana-mana pihak berkuasa itu;

“rumah kos rendah” ertinya mana-mana rumah, apartmen atau kediaman lain yang harga penjualannya ditetapkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

2 [2]

Dalam Enakmen ini rujukan kepada apa-apa rumah, apartmen atau kediaman lain hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk rujukan kepada tanah bersama rumah, apartmen atau kediaman lain itu.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.