Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

16

Tajuk

Penzahiran kepentingan
16 [1]

Seseorang anggota Lembaga atau mana-mana jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen 18 yang mempunyai atau yang memperoleh kepentingan langsung atau tidak langsung dengan sendiri, menerusi anggota  keluarganya atau menerusi sekutunya berhubung dengan mana-mana perkara yang sedang dibincangkan oleh Lembaga atau jawatankuasa itu hendaklah menzahirkan kepada Lembaga atau jawatankuasa itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, hakikat kepentingannya dan jenis kepentingan itu.

16 [2]

Penzahiran di bawah subseksyen (1) hendaklah direkodkan dalam minit mesyuarat Lembaga atau jawatankuasa itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dalamnya perkara itu dibincangkan dan selepas penzahiran itu, anggota itu—

(a) tidak boleh dikira bagi maksud membentuk kuorum mesyuarat Lembaga atau jawatankuasa itu, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan

(b) tidak boleh mengambil bahagian atau hadir dalam mana-mana perbincangan atau keputusan Lembaga atau jawatankuasa itu, mengikut mana-mana yang berkenaan,

apabila perkara itu dibincangkan atau diputuskan.

16 [3]

Mana-mana anggota Lembaga atau jawatankuasa yang tidak menzahirkan kepentingannya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

16 [4]

Tiada tindakan atau prosiding Lembaga atau jawatankuasa, boleh ditaksahkan atas alasan bahawa mana-mana anggota Lembaga atau jawatankuasa telah melanggar peruntukan-peruntukan seksyen ini.

16 [5]

Bagi maksud seksyen ini—

(a) “anggota keluarga”, berhubung dengan seseorang anggota Lembaga atau jawatankuasa, termasuklah—

(i) suami atau isterinya;

(ii) ibu atau bapanya (termasuk ibu atau bapa suami atau isterinya);

(iii) anaknya (termasuk anak angkat atau anak tiri);

(iv) adik beradiknya (termasuk adik beradik suami atau isterinya); dan

(v) suami atau isteri anaknya atau adik beradiknya; dan

(b) “sekutu”, berhubung dengan seseorang anggota Lembaga atau jawatankuasa, ertinya—

(i) mana-mana orang yang merupakan penama atau pekerja anggota itu;

(ii) mana-mana firma yang anggota itu atau mana-mana penamanya merupakan seorang pekongsinya;

(iii) pekongsi anggota itu;

(iv) pemegang amanah sesuatu amanah yang di bawahnya anggota itu atau seseorang anggota keluarganya menjadi
benefisiarinya; atau

(v) mana-mana perbadanan, mengikut pengertian Akta Syarikat 1965, yang anggota itu atau mana-mana penamanya atau seseorang anggota keluarganya menjadi pengarahnya atau mempunyai kepentingan kawalan atau syer yang jumlah nilainya tidak kurang daripada tiga puluh peratus daripada jumlah modal diterbitkan perbadanan itu.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.