Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011

Bahagian

5 (Badan Maklumat Negeri)

Seksyen

17

Tajuk

Badan Maklumat Negeri
17 [1]

Bagi maksud Enakmen ini, hendaklah ditubuhkan suatu Lembaga Rayuan yang dikenali sebagai Badan Maklumat Negeri.

17 [2]

Pihak Berkuasa Negeri hendaklah, melalui pemberitahuan
dalam Warta Negeri, melantik—

(a) seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi bagi Badan Maklumat Negeri itu, iaitu bekas hakim atau peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi atau bekas anggota Perkhidmatan kehakiman dan Perundangan Malaysia atau yang berpengalaman dari segi kehakiman atau kelayakan dan pengalaman sesuai yang lain; dan

(b) beberapa orang yang layak, tidak melebihi enam orang, yang difikirkan memadai oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk menjadi ahli tambahan Badan Maklumat Negeri.

17 [3]

Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (2) hendaklah menjadi bebas dan tidak memegang jawatan politik atau memegang apa-apa jawatan di dalam mana-mana parti politik.

17 [4]

Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (2) hendaklah, memegang jawatan selama suatu tempoh tidak melebihi tiga tahun yang hendaklah ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam pemberitahuan pelantikan itu, tetapi layak dilantik semula.

17 [5]

Pihak Berkuasa Negeri boleh membatalkan pelantikan seseorang ahli Badan Maklumat Negeri sewaktu tempoh jawatan tanpa memberi apa-apa sebab di dalam keadaan berikut:

(a) ahli tersebut tidak lagi berkecuali seperti yang dikehendaki di bawah subseksyen (3);

(b) ahli tersebut didapati bersalah yang boleh dihukum dengan penjara;

(c) ahli tersebut telah bertindak secara tidak jujur dan melakukan perbuatan tidak berakhlak atau bermoral;

(d) ahli tersebut tidak waras atau merupakan bankrap yang belum dilepaskan daripada kebankrapan selepas dihukum sebagai bankrap; atau

(e) ahli tersebut bertindak atau gagal bertindak dalam cara yang menggagalkan dan menghalang tujuan Enakmen ini.

17 [6]

Apabila Pengerusi tidak dapat menjalankan fungsinya oleh sebab sakit, tidak berada di Malaysia, atau oleh apa-apa sebab lain, Timbalan Pengerusi hendaklah menjalankan fungsi Pengerusi itu; dan pada menjalankan fungsi itu, Timbalan Pengerusi hendaklah, bagi maksud Enakmen ini, disifatkan sebagai Pengerusi Badan Maklumat Negeri.

17 [7]

Bila mana timbul suatu keperluan untuk memanggil Badan Maklumat Negeri bermesyuarat, Pengerusi hendaklah meminta mana-mana dua orang daripada ahli yang dilantik di bawah perenggan (2)(b) supaya berkhidmat dengannya dalam Badan Maklumat Negeri itu; dan menjadi kewajipan tiap-tiap ahli yang
diminta sedemikian, berkhidmat dalam Badan Maklumat Negeri, melainkan jika dia dikecualikan oleh Pengerusi, atas alasan yang difikirkan munasabah oleh Pengerusi, daripada berkhidmat sedemikian.

17 [8]

Seseorang ahli Badan Maklumat Negeri yang mempunyai sesuatu kepentingan dalam apa-apa perkara yang ada di hadapan Badan Maklumat Negeri hendaklah, sebaik sahaja dia sedar akan kepentingannya, menzahirkan fakta dan jenis kepentingan itu kepada Pengerusi dan tidak boleh mengambil bahagian atau bahagian selanjutnya dalam prosiding Badan Maklumat Negeri
itu yang berhubungan dengan perkara itu.

17 [9]

Tiap-tiap penzahiran kepentingan yang dibuat di bawah subseksyen (8) hendaklah direkodkan.

17 [10]

Tiap-tiap keputusan Badan Maklumat Negeri hendaklah dibuat oleh majoriti Badan tersebut.

17 [11]

Berkenaan dengan sesuatu rayuan di hadapannya, Badan
Maklumat Negeri—

(a) hendaklah mendengar perayu dan Pegawai Maklumat dan hendaklah meminta Pegawai Maklumat tersebut untuk memberikan alasan bagi menyokong keputusan menafikan akses kepada maklumat;

(b) boleh memanggil dan memeriksa saksi;

(c) boleh menghendaki mana-mana orang mengikat dirinya atas sumpah untuk menyatakan yang benar;

(d) boleh memaksa pengemukaan dan penghantar serahan apa-apa dokumen yang difikirkan berkaitan atau material olehnya bagi rayuan itu termasuk dokumen yang akses kepadanya ditolak oleh Pegawai Maklumat berkenaan dengan syarat bahawa maklumat tersebut hendaklah tetap
dirahsiakan;

(e) boleh mengesahkan, mengubah atau mengakas perintah atau keputusan yang dirayu; dan

(f) boleh membuat apa-apa perintah sama ada yang diperuntukkan atau tidak oleh, dan yang selaras dengan Enakmen ini.

17 [12]

Tiap-tiap orang yang dipanggil oleh Badan Maklumat Negeri untuk menghadiri prosiding diwajibkan untuk hadir di tempat dan pada masa yang ditentukan dalam saman itu dan tiap-tiap orang yang dikehendaki oleh Badan Maklumat Negeri untuk mengemukakan atau menghantar serah apa-apa dokumen kepadanya atau kepada mana-mana pekhidmat awam diwajibkan untuk mengemukakan atau menghantar serah dokumen sedemikian.

17 [13]

Semua saman, notis dan perintah yang dikeluarkan, dibuat, atau diberi di bawah tandatangan Pengerusi hendaklah disifatkan sebagai dikeluarkan, dibuat, atau diberikan oleh Badan Maklumat Negeri.

17 [14]

Sesuatu perintah yang dibuat oleh Badan Maklumat Negeri atas suatu rayuan di hadapannya adalah muktamad, tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah, dan hendaklah mengikat semua pihak kepada rayuan itu atau yang terlibat dalam perkara itu dengan syarat bahawa pemohon yang tidak berpuas hati dengan keputusan Badan Maklumat Negeri boleh, dalam masa dua puluh satu hari daripada tarikh dikeluarkan perintah Badan Maklumat Negeri, merayu terhadap perintah tersebut di Mahkamah.

17 [15]

Bagi tujuan memutuskan rayuan, mahkamah akan diberikan akses kepada maklumat yang dipersoalkan jika diperlukan dengan syarat maklumat tersebut hendaklah tetap dirahsiakan.

17 [16]

Bagi maksud Kanun Keseksaan [Akta 574], Badan Maklumat Negeri hendaklah disifatkan sebagai suatu mahkamah dan tiap-tiap ahlinya hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam.

17 [17]

Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat kaedah-kaedah untuk menetapkan tatacara rayuan kepada Badan Maklumat Negeri dan fi yang kena dibayar berkenaan dengannya, dan mengawal selia prosiding Badan Maklumat Negeri.

17 [18]

Ahli Badan Maklumat Negeri hendaklah dibayar, daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri, elaun yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.