Enakmen Bekalan Air (Syarikat Pengganti) 2001

Bahagian

2 (Perletakhakan Harta, Dsb., Pada Syarikat Pengganti)

Seksyen

7

Tajuk

Struktur kewangan syarikat pengganti.
7 [1]

Jika Setiausaha Kerajaan, selepas berunding dengan Menteri Besar, mengarahkan sedemikian pada bila-bila masa sebelum syarikat pengganti terhenti daripada dipunyai pada keseluruhannya oleh Kerajaan Negeri, sesuatu jumlah wang yang tidak melebihi untung terhasil terkumpul Jabatan Bekalan Air, Selangor, sebagaimana yang ditetapkan dalam arahan itu; hendaklah dibawa oleh syarikat pengganti itu kepada suatu rizab, yang dalam seksyen ini disebut “rizab statutori”.

7 [2]

Rizab statutori itu hanya boleh digunakan oleh syarikat pengganti untuk membayar syer-syer tak terbit syarikat itu yang hendak diumpukkan kepada anggota-anggota syarikat pengganti itu sebagai syer-syer bonus berbayar penuh.

7 [3]

Bagi maksud-maksud mana-mana akaun statutori syarikat pengganti, nilai mana-mana aset atau hak atau amaun mana-mana liabiliti Kerajaan Negeri, yang dikira sebagai telah terletakhak pada syarikat pengganti itu menurut kuasa seksyen 3, hendaklah dikira sebagai nilai atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, amaun yang diberikan kepada aset, hak atau liabiliti itu dalam penyata
akaun yang disediakan oleh Jabatan Bekalan Air, Selangor, berkenaan dengan tahun perakaunan genap terakhir Jabatan
Bekalan Air, Selangor, yang berakhir sebelum tarikh perletakhakan.

7 [4]

Bagi maksud-maksud mana-mana akaun statutori syarikat pengganti, amaun yang hendak dimasukkan berkenaan dengan mana-mana butiran hendaklah ditentukan seolah-olah apa-apa jua yang dilakukan oleh Jabatan Bekalan Air, Selangor, sama ada secara memperolehi, menilai semula atau melupuskan mana-mana aset atau menanggung, menilai semula atau menyelesaikan mana-mana liabiliti, atau dengan membawa apa-apa amaun kepada mana-mana peruntukan rizab, atau selainnya, telah dilakukan oleh syarikat pengganti.

7 [5]

Tanpa menjejaskan keluasan peruntukan subseksyen (4), amaun yang hendak dimasukkan dari semasa ke semasa dalam mana-mana rizab syarikat pengganti sebagai merupakan untung terhasil terkumpulnya hendaklah ditentukan seolah-olah apa-apa untung yang dihasilkan dan dipegangsimpan oleh Jabatan Bekalan Air, Selangor, telah dihasilkan dan dipegangsimpan oleh syarikat
pengganti.

7 [6]

Sebutan-sebutan dalam seksyen ini mengenai akaun statutori syarikat pengganti adalah sebutan-sebutan mengenai apa-apa akaun yang disediakan oleh syarikat pengganti bagi maksud-maksud mana-mana peruntukan Akta Syarikat 1965.

7 [7]

Bagi maksud-maksud seksyen ini, “tahun perakaunan genap” ertinya sesuatu tahun perakaunan yang berakhir pada 31 Disember atau suatu tempoh yang akan ditentukan oleh Pegawai Kewangan Negeri.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.