Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

Bahagian

II (Majlis Agama Islam Selangor)

Seksyen

7

Tajuk

Kewajipan Majlis tentang kemajuan ekonomi dan sosial orang Islam
7 [1]

Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Selangor selaras dengan Hukum Syarak.

7 [2]

Majlis hendaklah mempunyai kuasa, bagi maksud menunaikan kewajipannya di bawah subseksyen (1)—

(a) untuk menjalankan segala aktiviti, yang tidak melibatkan apa-apa unsur yang tidak dibenarkan oleh agama Islam, khususnya memajukan perusahaan komersial dan perindustrian, yang penjalanannya ternyata kepada Majlis adalah perlu, berfaedah atau menyenangkan bagi atau berkaitan dengan penunaian kewajipan yang sedemikian, termasuklah membuat, memasang, memproses, membungkus, menggred dan memasarkan keluaran-keluaran;

(b) untuk menggalakkan penjalanan apa-apa kegiatan
sedemikian oleh badan-badan atau orang lain, dan bagi
maksud itu untuk menubuhkan atau memperkembang, atau menggalakkan penubuhan atau perkembangan badan-badan lain untuk menjalankan apa-apa kegiatan sedemikian sama ada di bawah kawalan atau kawalan separa oleh Majlis atau secara bebas, dan untuk memberikan bantuan kepada badan-badan atau orang lain yang ternyata kepada Majlis mempunyai kemudahan untuk menjalankan apa-apa kegiatan yang sedemikian, termasuklah pemberian bantuan kewangan dengan cara pinjaman atau selainnya; (c) untuk menjalankan apa-apa kegiatan sedemikian bersama badan-badan atau orang-orang lain, termasuklah jabatan-jabatan atau pihak-pihak berkuasa Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Negeri, atau sebagai ejen pengurus atau selainnya bagi pihak Kerajaan Negeri;

(d) untuk melabur dalam apa-apa pelaburan yang dibenarkan sebagaimana yang ditakrifkan oleh Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208], dan melupuskan pelaburan itu atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Majlis;

(e) untuk menubuhkan apa-apa skim bagi pemberian pinjaman daripada Baitulmal kepada individu beragama Islam bagi pendidikan tinggi;

(f) untuk menubuhkan dan menyenggarakan sekolah-sekolah Islam dan institusi-institusi latihan dan penyelidikan Islam;

(g) untuk menubuhkan, mengurus dan mengawal rumah-rumah kebajikan untuk anak yatim; dan

(h) untuk melakukan segala perbuatan yang difikirkan oleh Majlis dikehendaki atau suaimanfaat.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.