Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

Bahagian

III (Pelantikan Mufti, Kuasa dalam Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Fatwa dan Fatwa yang Berhubungan dengan Kepentingan Nasional)

Seksyen

51

Tajuk

Fatwa yang ada hubungan dengan kepentingan nasional
51 [1]

Walau apa pun kuasa Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen
47, apabila Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan dibuat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional, Jawatankuasa Fatwa hendaklah menangguhkan perbincangannya tentang fatwa yang dicadangkan itu dan mengemukakan perkara itu kepada Majlis.

51 [2]

Selepas menimbang teliti perkara itu Majlis boleh membuat
syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapat
perkenannya supaya fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, melalui Majlis Raja-Raja.

51 [3]

Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), suatu fatwa
adalah dianggap berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu ada hubungan dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensi-agensinya.

51 [4]

Jika Duli Yang Maha Mulia Sultan memberikan perkenannya
di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah, sebelum fatwa itu
dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memaklumkan kepada Kerajaan Negeri tentang perujukan itu.

51 [5]

Apabila sesuatu fatwa yang dicadangkan telah dirujukkan
kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan nasihat dan syornya kepada Majlis Raja-Raja mengikut subseksyen (2) tentang perkara itu.

51 [6]

Jika Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan atau
mengesyorkan supaya fatwa yang dicadangkan itu dibuat, dengan atau tanpa ubahsuaian yang disyorkan olehnya, atau menasihatkan atau mengesyorkan suatu fatwa lain tentang perkara yang sama dan Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu, maka Majlis hendaklah menimbang nasihat dan syor itu dan selepas itu bolehlah menyebabkan
supaya fatwa mengikut nasihat dan syor itu disiarkan dalam Warta tanpa apa-apa pindaan atau ubahsuaian dan peruntukan-peruntukan seksyen 48, kecuali subseksyen 48(7), hendaklah terpakai baginya.

51 [7]

Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.