Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

Bahagian

II (Majlis Agama Islam Selangor)

Seksyen

32

Tajuk

Peraturan-peraturan tatatertib
32 [1]

Majlis boleh, dengan kelulusan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat peraturan-peraturan untuk mengadakan peruntukan bagi tatatertib pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmatnya.

32 [2]

Peraturan-peraturan tatatertib yang dibuat di bawah
seksyen ini—

(a) boleh mewujudkan kesalahan tatatertib;

(b) boleh mengadakan peruntukan bagi hukuman tatatertib yang difikirkan sesuai oleh Majlis dan hukuman itu boleh meliputi—

(i) amaran;
(ii) denda;
(iii) pelucuthakan emolumen;
(iv) penangguhan pergerakan gaji;
(v) pengurangan gaji;
(vi) penurunan pangkat; dan
(vii) buang kerja;

(c) hendaklah memberikan peluang kepada pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmat yang terhadapnya prosiding tatatertib itu diambil untuk membuat representasi terhadap pertuduhan tatatertib yang dibuat terhadapnya sebelum keputusan dicapai oleh jawatankuasa tatatertib kecuali dalam hal-hal yang berikut:

(i) jika seseorang pegawai atau pekhidmat dibuang kerja atau diturunkan pangkat atas alasan salah laku yang berkenaan dengannya suatu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadapnya;

(ii) jika Majlis, atas syor Menteri yang dipertanggungkan dengan hal ehwal dalam negeri, berpuas hati bahawa demi kepentingan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya adalah tidak suaimanfaat untuk menjalankan kehendak perenggan ini; atau

(iii) jika telah—

(A) dibuat terhadap seseorang pegawai atau
pekhidmat apa-apa perintah tahanan,
pengawasan, kediaman terhad, buang negeri
atau pengusiran; atau

(B) dikenakan terhadap seseorang pegawai atau
pekhidmat apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan dengan bon atau selainnya,

di bawah mana-mana undang-undang yang
berhubungan dengan keselamatan Malaysia atau
mana-mana bahagiannya, pencegahan, kediaman
terhad, buang negeri, imigresen, atau pelindungan
wanita dan gadis atau kanak-kanak;

(d) boleh mengadakan peruntukan bagi penahanan kerja dengan pengurangan emolumen seseorang pegawai atau pekhidmat semasa menanti selesainya prosiding jenayah atau prosiding tatatertib terhadapnya dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat; dan

(e) boleh mengadakan peruntukan bagi penggantungan tanpa emolumen seseorang pegawai atau pekhidmat—

(i) jika pegawai atau pekhidmat itu telah disabitkan
oleh suatu mahkamah jenayah; atau

(ii) jika suatu perintah tahanan atau sekatan telah
dikenakan ke atas pegawai atau pekhidmat itu; dan

(f) boleh mengadakan peruntukan bagi tatacara pendengaran rayuan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib yang ditubuhkan di bawah seksyen 33.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.