Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor)2003.

Bahagian

XVIII - Penguatkuasaan dan Pelaksanaan

Bab

3 - Pelaksanaan

Seksyen

161

Tajuk

Hiwalah
161 [1]

Dalam seksyen ini, “harta” termasuklah suatu hutang yang kena dibayar oleh muhal-alaih kepada penghutang penghakiman.

161 [2]

Peruntukan yang berikut hendaklah terpakai jika pelaksanaan diperintahkan melalui penahanan harta dalam milikan atau kawalan seseorang muhal-alaih—

(a) bailif hendaklah menyampaikan kepada muhal-alaih suatu notis hiwalah dalam Borang MS 37, dan notis dalam Borang MS 38 hendaklah digunakan jika harta itu berada di dalam Mahkamah;

(b) segala harta yang dinyatakan dalam notis hiwalah hendaklah ditahan dari masa penyampaian notis itu kepada muhal ‘alaih setakat atau pada nilai yang disebut dalam notis itu, dan apa-apa pemberimilikan atau pelupusan harta itu yang bertentangan dengan terma-terma notis itu, kecuali dengan kebenaran Mahkamah, adalah tak sah terhadap bailif, dan perbuatan itu adalah juga suatu penghinaan mahkamah;

(c) muhal-alaih boleh membayar kepada bailif amaun yang dituntut atau boleh menghantarserahkan kepadanya harta yang ditahan itu;

(d) jika muhal-alaih tidak membuat pembayaran atau penghantarserahan itu, bailif boleh menyampaikan kepadanya suatu saman hiwalah dalam Borang MS 39 dan Mahkamah hendaklah memeriksanya tentang harta yang ditahan itu:

Dengan syarat bahawa—

(i) tiada saman yang sedemikian boleh dikeluarkan kepada seseorang penjawat awam berkenaan wang atau harta dalam milikannya atas sifatnya yang sedemikian, melainkan dengan kebenaran Mahkamah dan dengan kebenaran bertulis Perbendaharaan; dan

(ii) tiada saman yang sedemikian boleh dikeluarkan dalam hal wang, kumpulan wang pelaburan atau harta di dalam mana-mana Mahkamah;

(e) Mahkamah boleh mendengar keterangan lain mengenai mana-mana saman hiwalah;

(f) selepas mendengar saman itu, Mahkamah boleh membuat suatu perintah pembayaran atau penghantarserahan dan boleh memerintahkan pelaksanaan dikeluarkan terhadap muhal-alaih mengenai apa-apa harta dalam tangannya yang didapati telah ditahan dengan sah, seolah-olah muhal-alaih itu sendiri ialah penghutang penghakiman bagi amaun yang dituntut terhadap penghutang penghakiman yang asal, atau bagi amaun atau nilai harta dalam tangan muhal-alaih, mengikut mana yang kurang;

(g) Mahkamah—

(i) boleh memerintahkan kos terhadap muhal-alaih dan boleh membenarkan atau tidak membenarkan muhal-alaih itu menuntut kos itu daripada penghutang penghakiman;

(ii) boleh membenarkan kos kepada muhal-alaih terhadap pemiutang penghakiman, dan boleh memberikan atau tidak memberikan kebenaran untuk menjadikan kos itu sebagai kos pelaksanaan;

(h) jika hutang yang kena dibayar secara ansuran menurut suatu penghakiman ditahan, muhal-alaih tidaklah bertanggungan membuat pembayaran kecuali mengikut perintah ansuran itu;

(i) pembayaran oleh muhal-alaih di bawah seksyen ini hendaklah menjadi suatu pelepasan yang sah terhadap penghutang penghakiman;

(j) bailif boleh, atas permintaan pemiutang penghakiman dan hendaklah, jika diperintahkan sedemikian oleh Mahkamah, menarik balik mana-mana notis hiwalah atau saman hiwalah;

(k) sesuatu notis hiwalah hendaklah disifatkan telah terbatal tiga bulan selepas penyampaian, melainkan jika prosiding di bawah saman itu masih belum selesai atau Mahkamah memerintahkan selainnya.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.