Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor)2003.

Bahagian

I - Permulaan

Seksyen

3

Tajuk

Tafsiran
3 [1]

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“bailif” termasuklah Pendaftar atau mana-mana kerani atau pegawai Mahkamah yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan kewajipan seorang bailif;

“borang” ertinya borang yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, dan borang yang disebut dengan menggunakan suatu nombor ertinya borang yang dinomborkan sedemikian dalam Jadual itu;

“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen 1/2003];

“Hakim” atau “Hakim Syarie” ertinya Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

“hari kehadiran” ertinya hari yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan untuk pendengaran apa-apa prosiding itu;

“lien” ertinya suatu hak atas harta seseorang penghutang penghakiman setakat keterhutangan itu;

“Mahkamah” atau “Mahkamah Syariah” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“notis” ertinya notis bertulis melainkan jika dalam apa-apa hal diperintahkan selainnya oleh Mahkamah;

“orang belum dewasa” ertinya seseorang yang belum mencapai umur lapan belas tahun;

“orang tak berkeupayaan” termasuklah seseorang budak, seseorang tak sempurna akal dan seseorang yang ditegah menguruskan hartanya;

“Peguam Syarie” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“pemiutang penghakiman” ertinya orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman bagi pembayaran wang sama ada secara ansuran atau selainnya;

“Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

“penghakiman” termasuklah alasan penghakiman;

“penghutang penghakiman” ertinya orang yang bertanggungan di bawah mana-mana penghakiman bagi pembayaran wang;

“terjemahan diperakui” ertinya terjemahan apa-apa dokumen yang diperakui betul oleh pegawai Mahkamah atau oleh mana-mana orang lain yang diterima oleh Mahkamah.

3 [2]

Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Bahagian I Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

3 [3]

Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.