Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003

Bahagian

V - Prosiding dalam Pendakwaan

Bab

4 - Darihal Perbicaraan

Seksyen

96

Tajuk

Tatacara dalam perbicaraan
96

Tatacara yang berikut hendaklah diikuti oleh Hakim dalam perbicaraan:

(a) apabila tertuduh hadir atau dibawa ke hadapan Mahkamah, maka pertuduhan yang mengandungi butir-butir kesalahan yang dia dituduh melakukannya itu hendaklah dibentuk, dibaca dan dijelaskan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya sama ada dia bersalah atas kesalahan yang dipertuduh itu atau meminta dibicarakan;

(b) jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan, sama ada atas pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan dan dia boleh disabitkan atas kesalahan itu:

Dengan syarat bahawa sebelum suatu akuan bersalah direkodkan, Mahkamah hendaklah menentukan bahawa tertuduh memahami sifat dan akibat daripada akuannya itu dan dia berniat untuk mengakui, tanpa bersyarat, kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu;

(c) jika tertuduh enggan membuat akuan atau tidak membuat akuan atau meminta dibicarakan, Mahkamah hendaklah mendengar pengadu, jika ada, dan mengambil segala keterangan yang dikemukakan bagi menyokong pendakwaan itu;

(d) apabila difikirkannya perlu, Mahkamah hendaklah memperoleh daripada pengadu atau selainnya nama mana-mana orang yang berkemungkinan mengetahui fakta kes itu dan dapat memberikan keterangan bagi pihak pendakwaan, dan hendaklah memanggil mana-mana daripada mereka, sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Mahkamah, untuk memberikan keterangan di hadapannya;

(e) tertuduh atau Peguam Syarienya hendaklah dibenarkan memeriksa balas semua saksi bagi pihak pendakwaan melalui Hakim;

(f) jika, selepas mengambil segala keterangan yang disebut dalam perenggan (c), (d) dan (e), Mahkamah mendapati bahawa tiada kes terhadap tertuduh telah diwujudkan yang jika tak dipatahkan akan mewajarkan sabitannya, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan;

(g) tiada ada-apa jua dalam perenggan (f) boleh disifatkan sebagai menghalang Mahkamah daripada melepaskan tertuduh pada mana-mana peringkat terdahulu dalam kes itu jika bagi sebab-sebab yang hendaklah direkodkan oleh Mahkamah ia berpendapat pertuduhan itu tidak berasas;

(h) jika, apabila keterangan itu telah diambil, Mahkamah berpendapat bahawa ada alasan untuk menganggap bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan yang dipertuduh itu atau kesalahan lain yang Mahkamah itu kompeten untuk membicarakannya dan yang pada pendapatnya patut dibicarakannya, ia hendaklah menimbangkan pertuduhan yang direkodkan terhadap tertuduh dan memutuskan sama ada pertuduhan itu mencukupi dan, jika perlu, hendaklah meminda pertuduhan itu;

(i) pertuduhan itu jika dipinda hendaklah dibacakan kepada tertuduh sebagaimana yang dipinda dan dia hendaklah ditanya semula sama ada dia bersalah atau ada apa-apa pembelaan yang hendak dibuat;

(j) jika tertuduh tidak mengaku salah kepada pertuduhan itu sebagaimana yang dipinda atau jika tiada pindaan dibuat, tertuduh hendaklah dipanggil untuk membuat pembelaannya dan mengemukakan keterangannya, dan hendaklah pada bila-bila masa apabila dia membuat pembelaannya dibenarkan untuk memanggil semula dan memeriksa balas mana-mana saksi melalui Hakim;

(k) jika tertuduh mengemukakan apa-apa pernyataan bertulis, Mahkamah hendaklah memfailkannya bersama-sama dengan rekod;

(l) jika tertuduh memohon kepada Mahkamah supaya dikeluarkan saman bagi memaksa kehadiran mana-mana saksi, sama ada dia telah atau belum diperiksa dalam kes itu, bagi maksud pemeriksaan atau pemeriksaan balas atau pengemukaan apa-apa dokumen atau benda lain, Mahkamah hendaklah mengeluarkan saman melainkan jika ia berpendapat bahawa permohonan itu patut ditolak atas alasan bahawa ia dibuat bagi maksud menyusahkan atau melengahkan atau bagi menggagalkan matlamat keadilan; dan alasan sedemikain hendaklah direkodkannya secara bertulis;

(m) (i) jika Mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah, Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan;

(ii) jika Mahkamah mendapati tertuduh bersalah atau jika akuan bersalah telah direkodkan dan diterima, Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang;

(n) apabila prosiding telah dimulakan atas aduan seseorang yang dibuat dengan sumpah di bawah seksyen 74 dan pada mana-mana hari yang ditetapkan bagi pendengaran kes itu pengadu itu tidak hadir, Mahkamah boleh, menurut budi bicaranya, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini, melepaskan tertuduh.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.