Enakmen Mineral (Selangor) 2000

Bahagian

V - Akses ke atas Tanah

Seksyen

89

Tajuk

Akses ke Tanah Berimilik atau Tanah Pendudukan untuk Penjelajahan
89 [1]

Jika mana-mana kawasan yang berkenaan dengannya suatu lesen mencarigali atau lesen penjelajahan telah diberikan termasuklah mana-mana tanah berimilik atau tanah pendudukan, pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelajahan itu tidak boleh menjalankan apa-apa kerja penjelajahan, selain daripada kerja yang dijalankan dari pengamatan udara atau melalui kaedah penderiaan jauh, berkenaan dengan tanah itu melainkan jika pemegangnya—

(a) telah terlebih dahulu memperolehi kebenaran bertulis pemunya tanah berimilik atau tanah pendudukan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan; atau

(b) telah memperolehi, jika tanah berimilik atau tanah pendudukan itu adalah tertakluk kepada kategori “pertanian” atau kepada apa-apa syarat yang menghendaki penggunaannya bagi apa- apa maksud pertanian, perintah akses di bawah subseksyen (3),

dan mana-mana kebenaran bertulis atau perintah akses sedemikian hendaklah dilampirkan pada lesen itu.

89 [2]

Jika kebenaran bertulis telah diperolehi di bawah perenggan (l)(a), pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelajahan hendaklah, sebelum memulakan apa-apa kerja penjelajahan, mengemukakan kebenaran bertulis itu kepada Pengarah apa-apa cara yang ditetapkan.

89 [3]

Jika pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelajahan—

(a) tidak memperolehi kebenaran bertulis yang disebut dalam perenggan (l)(a) dalam tempoh enam bulan dari tarikh lesen itu dikeluarkan; atau

(b) telah memperolehi kebenaran bertulis yang disebut dalam perenggan (1)(a) tetapi kebenaran bertulis itu ditarik balik kemudiannya,

dan tanah yang berkenaan dengannya lesen mencarigali atau lesen penjelajahan itu telah diberikan adalah tertakluk kepada kategori “pertanian” atau kepada apa-apa syarat yang menghendaki penggunaannya bagi apa-apa maksud pertanian, pemegang lesen itu hendaklah memberitahu Pengarah secara bertulis tentang fakta itu.

 

89 [4]

Pengarah hendaklah, dengan seberapa segera yang praktik selepas menerima notis di bawah subseksyen (3), menjalankan suatu siasatan bagi maksud menentukan—

(a) sama ada atau tidak perintah akses patut diberikan; dan

(b) terma atau syarat perintah akses itu, jika ada.

89 [5]

Suatu perintah akses bolehlah termasuk perkara yang berikut:

(a) tarikh bila perintah akses itu akan mula berkuatkuasa, tetapi tarikh itu tidaklah boleh lebih awal dari empat puluh lima hari dari tarikh perintah akses itu dibuat;

(b) tempoh, jika ada, yang dalam masa itu pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelahan dibenarkan akses ke tanah itu;

(c) bahagian tanah berimilik atau tanah pendudukan yang di dalamnya atau di atasnya pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelajahan boleh menjelajah dan cara bagaimana pemegang lesen itu boleh mendapat akses ke bahagian tanah itu;

(d) jenis pengendalian penjelajahan yang boleh atau tidak boleh dijalankan di dalam atau di atas tanah itu;

(e) syarat yang hendaklah dipatuhi apabila menjelajah di dalam atau di atas tanah itu;

(f) langkah yang perlu diambil oleh pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelaj ahan bagi melindungi alam sekeliling selama ada akses ke tanah itu dan menjelajah di dalam atau di atas tanah itu;

(g) pampasan yang hendaklah dibayar kepada mana- mana pemunya tanah berimilik atau tanah pendudukan—

(i) berbangkit daripada pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelajahan itu menjelajah di dalam atau di atas tanah itu; atau

(ii) bagi apa-apa kerugian atau gangguan pada hak pemunya untuk menggunakan tanah itu bagi keuntungan kewangan yang semunasabahnya boleh dikaitkan dengan pengendalian penjelajahan itu;

(h) amaun jaminan, jika ada, yang hendaklah didepositkan dengan Pengarah di bawah seksyen 93 oleh pemegang lesen mencarigali atau lesen menjelajah sebagai pembayaran ganti rugi di bawah seksyen 92;

(i) cara menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul berkaitan dengan perintah akses itu;

(j) cara mengubah perintah akses itu; dan

(k) apa-apa perkara lain yang pihak-pihak kepada perintah akses itu bersetuju untuk dimasukkan dalam perintah akses.

 

89 [6]

Mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan Pengarah untuk memberi atau menolak suatu perintah akses atau dengan terma mana-mana perintah akses yang dibuat di bawah seksyen ini boleh, dalam masa tiga puluh hari selepas tarikh perintah akses itu dibuat atau ditolak, merayu secara bertulis kepada Pihak Berkuasa Negeri yang keputusannya adalah muktamad.

89 [7]

Jika suatu rayuan dibuat di bawah subseksyen (6), perintah akses itu tidak boleh berkuatkuasa sehingga rayuan itu diselesaikan.

89 [8]

Tanpa menjejaskan apa-apa prosiding yang boleh dibawa terhadap pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelajahan berkenaan dengan apa-apa pelanggaran suatu perintah akses, pemunya tanah yang dimaksudkan oleh perintah itu boleh, jika pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelajahan melanggar perintah itu, menafikan pemegang lesen itu akses ke tanah itu sehingga—

(a) pelanggaran itu terhenti; atau

(b) pelanggaran itu diremedikan sehingga pemunya tanah itu berpuas hati secara berpatutan.

89 [9]

Jika pemegang lesen mencarigali atau lesen penjelajahan telah dinafikan akses ke atas tanah di bawah subseksyen (8), dia boleh merayu secara bertulis kepada Pengarah yang keputusannya adalah muktamad.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.