Enakmen Mineral (Selangor) 2000

Bahagian

X - PEMULIHAN

Seksyen

127

Tajuk

Kumpulan Wang Pemulihan Lombong
127 [1]

Maka hendaklah ditubuhkan suatu Kumpulan Wang Pemulihan Lombong bagi maksud pemulihan tanah lombong yang menjadi subjek kepada pajakan melombong yang membenarkan pengendalian skala besar.

127 [2]

Kumpulan Wang hendaklah ditadbirkan oleh Jawatankuasa.

127 [3]

Penerima pajak hendaklah membayar ke dalam Kumpulan Wang—

(a) jika tempoh pajakan melombong yang membenarkan pengendalian skala besar melebihi sepuluh tahun—

(i) suatu amaun permulaan sebanyak sepuluh peratus daripada jumlah kos pemulihan yang dianggarkan yang dinyatakan dalam pelan pemulihan lombong sebelum kerja pembangunan dimulakan tetapi tidak terkemudian dari tempoh satu tahun pajakan itu dikeluarkan:

Dengan syarat bahawa jika suatu pajakan melombong yang membenarkan pengendalian skala kecil diubah untuk membenarkan pengendalian skala besar, amaun permulaan itu hendaklah dibayar sebelum penge ndali an skala besar dimulakan; dan

(ii) bayaran tahunan, sembilan bulan selepas itu, sebanyak satu persepuluh daripada jumlah kos pemulihan yang dianggarkan yang dinyatakan dalam pelan pemulihan; atau

(b) jika tempoh pajakan melombong yang membenarkan pengendalian skala besar adalah kurang dari sepuluh tahun—

(i) suatu amaun permulaan yang sama dengan jumlah kos pemulihan yang dianggarkan yang dinyatakan dalam pelan pemulihan dibahagikan dengan tempoh pajakan itu sebelum kerja pembangunan dimulakan tetapi tidak terkemudian dari tempoh satu tahun pajakan itu dikeluarkan:

Dengan syarat bahawa jika suatu pajakan melombong yang membenarkan pengendalian skala kecil diubah untuk membenarkan pengendalian skala besar, amaun permulaan itu hendaklah dibayar sebelum pengendalian skala besar dimulakan; dan

(ii) bayaran tahunan, setiap tahun selepas itu, yang sama dengan jumlah kos pemulihan yang dianggarkan yang dinyatakan dalam pelan pemulihan dibahagikan dengan tempoh pajakan itu.

 

127 [4]

Jika pada bila-bila masa selepas pajakan melombong dikeluarkan Jawatankuasa menentukan bahawa jumlah kos yang dianggarkan untuk melaksanakan pelan pemulihan lombong yang diluluskan itu adalah berlebihan atau tidak mencukupi, ia boleh—

(a) membayar balik apa-apa amaun yang berlebihan kepada penerima pajak itu; atau

(b) menghendaki penerima pajak itu mendepositkan suatu amaun tambahan sebagaimana yang dinyatakannya,

mengikut mana-mana yang berkenaan.

127 [5]

Jika pajakan melombong dibaharui, penerima pajak hendaklah membayar ke dalam Kumpulan Wang apa- apa amaun tahunan yang dinyatakan dalam pelan pemulihan lombong yang diubahsuaikan.

127 [6]

Jawatankuasa boleh menentukan cara bayaran dipungut di bawah subseksyen (3).

127 [7]

Dewan Undangan Negeri boleh memperuntukkan apa-apa jumlah wang yang difikirkannya perlu untuk didepositkan ke dalam Kumpulan Wang yang jumlahnya hendaklah ditolak daripada jumlah kos pemulihan yang dianggarkan yang kena dibayar oleh penerima pajak di bawah subseksyen (3).

127 [8]

Apa-apa jumlah wang yang didepositkan ke dalam Kumpulan Wang di bawah seksyen 131 hendaklah ditolak daripada jumlah kos pemulihan yang dianggarkan yang kena dibayar oleh penerima pajak di bawah subseksyen (3)

127 [9]

Apa-apa wang yang dibayar ke dalam Kumpulan Wang hendaklah didepositkan ke dalam mana-mana bank yang dilesenkan sewajarnya di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1990.

127 [10 ]

Kumpulan Wang dan apa-apa jumlah wang yang terakru daripadanya hendaklah digunakan hanya bagi pelaksanaan pelan pemulihan yang dimaksudkannya dan Jawatankuasa boleh, bagi pelaksanaan pelan pemulihan lombong itu, membenarkan pembayaran daripada Kumpulan Wang kepada penerima pajak, atau pihak-pihak lain yang dinamakan sedemikian dalam pelan pemulihan.

127 [11]

Jawatankuasa hendaklah—

(a) menyimpan akaun yang sepatutnya dan rekod lain berkenaan dengan pengendalian Kumpulan Wang;

(b) menyebabkan disediakan suatu penyata akaun berkenaan dengan setiap tahun kewangan; dan

(c) menyebabkan akaunnya diaudit setiap tahun oleh Ketua Audit Negara.

127 [12]

Penerima pajak hendaklah melaksanakan obligasi yang diperihalkan dalam pelan pemulihan lombong selama tempoh pajakan melombong itu.

127 [13]

Jika pelan pemulihan lombong telah dilaksanakan sepenuhnya dan disempurnakan sehingga memuaskan hati Jawatankuasa, apa-apa baki jumlah wang yang terdapat dalam Kumpulan Wang hendaklah dibayar balik kepada penerima pajak itu.

127 [14]

Dalam seksyen ini, “Kumpulan Wang” ertinya Kumpulan Wang Pemulihan Lombong yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1).

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.